Tun M hanya nak yang baik, yang 'jahat' ditolak
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu hanya menerima bekas ahli Umno yang ‘baik’ dan menolak mereka yang ‘jahat’.
Menurutnya, beliau sendiri dulunya merupakan ahli Umno namun PH menerimanya malah Veteran DAP, Lim Kit Siang turut menerimanya.
“Ada orang yang baik pun ada (dalam Umno), yang jahat pun ada. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima. Saya sendiri ahli Umno (dulu), mereka (PH) terima saya.
“Kit Siang terima saya. Ahli Umno buka pasal ahli, tapi pasal apa kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam, di sini, petang tadi.
Ketika ditanya adakah enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti hari ini akan diterima masuk Bersatu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan ada syarat untuk menyertai parti tersebut.
“Nak masuk Bersatu ada syarat. Dia kena keluar, jadi (Ahli Parlimen) Bebas, kena sokong kerajaan.
“Selepas itu akan ada penilaian individu, baru boleh masuk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir enggan mengulas panjang tatkala diajukan soalan mendakwa PKR dan DAP dilihat kurang bersetuju dengan tindakan Bersatu menerima bekas pemimpin Umno ke dalam parti berkenaan.
“Dalam Bersatu pun ada tak suka,” jawabnya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!