UMNO tidak terima rayuan ahli dipecat
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO tidak menerima sebarang rayuan daripada ahli yang dipecat untuk kembali ke parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya memaklumkan, parti itu hanya menerima rayuan daripada mereka yang digantung sebelum pemilihan parti.
"Banyak yang digantung keahliannya telah mengemukakan surat rayuan untuk diterima balik sebagai ahli UMNO.
"Pendirian MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ialah Lembaga Disiplin akan membuat penelitian terhadap semua rayuan yang dikemukakan.
"MKT sangat terbuka untuk mengambil sebarang cadangan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin dan lazimnya laporan untuk menyokong atau menolak (rayuan) akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan.
"Hanya MKT boleh membuat keputusan muktamat mengenai apa juga tindakan disiplin dikenakan, sama ada memberi amaran, menggantung atau memecat," katanya pada sidang akhbar selepas sesi penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung bagi memperkasa parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ekoran parti itu kini berada di titik terendah, seterusnya perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan, beberapa langkah dalam usaha memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) telah dimulakan dengan enam negeri terlibat.
“Kursus atau latihan telah dimulakan melalui inisiatif Ketua Penerangan, pemukiman dengan semua ketua penerangan bahagian dimulakan dengan enam negeri yang terlibat dengan PRN.
“Barisan kepimpinan BN (Barisan Nasional) akan berbincang dengan (kepimpinan) PH (Pakatan Harapan) dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai pengagihan kerusi, (PRN),” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!