Habuan cecah RM1 juta menanti atlet para negara

Dr Wan Azizah serta Hannah Yeoh bersama para atlet selepas menyambut kepulangan Kontinjen Sukan Para ASEAN ke-12 2023 di KLIA pada Sabtu. - Foto: Bernama
Dr Wan Azizah serta Hannah Yeoh bersama para atlet selepas menyambut kepulangan Kontinjen Sukan Para ASEAN ke-12 2023 di KLIA pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Ganjaran wang tunai keseluruhan mencecah lebih RM1 juta menanti pemenang pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk R Subramaniam percaya barisan atlet para akan menerima habuan masing-masing selepas berjuang mengharumkan nama Malaysia.

"Ganjaran adalah berdasarkan SHAKAM, saya pasti kerajaan akan menunaikan apa sahaja yang dijanjikan, saya tidak melihat ia sebagai masalah walaupun kita memenangi 50 emas,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Sabtu.

Menerusi SHAKAM, pemenang emas acara individu bakal membawa pulang RM20,000 diikuti RM10,000 untuk emas kedua dan seterusnya.

Bagi acara berpasukan yang kurang daripada lima orang akan membawa pulang RM20,000 manakala acara berpasukan lebih daripada lima orang layak menerima RM5,000.

Terdahulu, ketibaan Subramaniam bersama kontinjen negara ke APG 2023 disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta ahli keluarga barisan atlet.

Sementara itu, atlet terbaik negara di APG 2023 Abd Halim Mohammad menjadi individu yang akan menerima habuan tertinggi selepas menggondol lima emas menerusi renang.

Bagaimanapun, beliau yang membuat penampilan kedua pada temasya sukan dwitahunan itu tidak memikirkan soal ganjaran, sebaliknya mahu terus fokus memperbaiki prestasi serta catatan masa untuk bersaing di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 seterusnya Sukan Paralimpik Paris 2024.

"Apa pun saya anggap ganjaran itu sebagai bonus, saya ibaratkan macam durian runtuh, saya rasa sangat bersyukur,” katanya.

Pada APG 2023 di Kemboja yang melabuhkan tirainya semalam, pencapaian 50 emas, 38 perak dan 34 gangsa menyaksikan Malaysia menduduki tangga keempat carta pingat di belakang juara, Indonesia diikuti Thailand (kedua) dan Vietnam ketiga.

MPM sebelum ini mengumumkan sasaran 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa berbanding 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa yang diraih pada edisi lepas di Solo, Indonesia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!