Haqimi Azim digugur dari skuad kebangsaan
KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon terpaksa melepaskan pemain penyerang, Haqimi Azim Rosli disebabkan masalah kesihatan dialami pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, pihaknya memantau perkembangan pemain muda berusia 20 tahun berkenaan sehingga malam semalam, namun tiada tanda positif dia dapat hadir untuk menjalani kem latihan bersama rakan pasukan.
Beliau berkata selain Haqimi Azim, kesemua 26 pemain yang terpilih dalam senarai skuad Harimau Malaya berada dalam keadaan baik dan sudah tiba untuk latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) hari ini.
"Sehingga malam semalam kami memantau Haqimi, namun tidak nampak peningkatan.
"Jadi saya fikir atas sebab rawatan perubatan dia digugurkan daripada pasukan. Setakat ini, semua orang (pemain lain) dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media sebelum sesi latihan hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di SSMZA petang tadi.
Bagi panggilan kem latihan pusat Jun ini, Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lepas.
Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.
Dua aksi perlawanan persahabatan menentang pasukan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu bakal menjadi medan ujian buat skuad negara sebelum ke pusingan akhir Piala Asia 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!