'34 tahun UMNO ikrar rampas Kelantan tapi kalah juga' - Annuar
SEREMBAN - "Good luck". Itu ucapan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tekadnya untuk mempertahankan tiga negeri di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri(PN).
Menurutnya, sebagai seorang Presiden parti, Ahmad Zahid semestinya cuba membina keyakinan ahli-ahlinya dengan menyatakan komitmennya sebegitu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
"Itu kenyataan yang baik. Tak salah pada saya bagi seorang presiden parti menyatakan tekad nak pertahankan.
"Tetapi rakyat pun dah buat tekad siapa yang mereka nak undi. Saya 'respect'. Itu tugas dia. Tapi di Kelantan pun selama 34 tahun (UMNO) berikrar untuk merampas negeri itu, tapi tiap-tiap kali pilihan raya, kalah juga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Townhall MN Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Presiden MN, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi MN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin.
Ujarnya, sememangnya PAU sudah terkenal sebagai tempat untuk mana-mana pemimpin menyedapkan hati masing-masing atau dalam bahasa kasarnya jilat menjilat.
Bagaimanapun katanya, percaya yang rakyat sudah ada tekad dan keputusan mereka.
Zahid dalam ucapan dasar PAU 2023 menyatakan tekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan disamping memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!