Eain Yow kekalkan kejuaraan Asia

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

PEMAIN skuasy lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow mempertahankan gelaran juaranya dalam Kejohanan Skuasy Perseorangan Asia 2023 tetapi S Sivasangari tewas dalam perlawanan akhir.

Pemain nombor 17 dunia, Eain Yow bermain dengan penuh tumpuan menewaskan wakil India S Velavan 11-4, 11-5, 11-6 dalam pertarungan selama 31 minit untuk gelaran juara itu di Pusat Skuasy Hong Kong, pada Sabtu.

Pemain pilihan utama kejohanan itu mara ke final selepas menumpaskan wakil tuan rumah Henry Leung 11-5, 11-8, 12-10 pada separuh akhir semalam sementara Velapan meranapkan harapan untuk dua pemain Malaysia berentap di final dengan mengejutkan Ivan Yuen 11-4, 11-6, 8-11,11-7.

Kejayaan ini bermakna Eian Yow kini merupakan pemain ketiga Malaysia yang menjuarai kejohanan diwtahunan itu berturut-turut selepas Ong Beng Hee (2000, 2002, 2004, 2006) dan Mohd Azlan Iskandar (2008, 2010).

Sementara itu, Sivasangari terlepas peluang mengakhiri kemarau kejuaraan negara selama lapan tahun selepas tewas 6-11, 11-9, 14-12, 3-11, 1-11 kepada wakil tuan rumah Chan Sin Yuk setelah bertarung selama 40 minit.

Sivasangari yang berpangkalan di Amerika Syarikat melangkah ke final selepas mengejutkan pemain pilihan utama kejohanan dan nombor 18 dunia Satomi Watanabe dari 11-9, 14-12, 11-8, Jepun sementara Chan menyingkirkan rakan senegara Ho Tze-Lok 7-11, 11-5, 11-5, 11-7.

Kali terakhir Malaysia menjadi juara kejohanan ini selepas legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David muncul juara buat kali kesembilan pada 2015.

Jurulatih negara Andrew Cross memuji Eian Yow dan Sivasangari di atas kesungguhan mereka beraksi sehingga berjaya ke final.

“Eian Yow tahu bagaimana untuk menyempurnakan tugasnya, beliau bermain dengan baik sepanjang minggu ini. Siva juga beraksi dengan baik hari ini, sebenarnya. Beliau menghadapi perlawanan mencabar minggu ini dan kekal positif dalam usahanya,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!