PAU 2023 gambar kematangan UMNO - Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap dengan berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada Sabtu, ia dapat menyuntik semangat ahli-ahlinya untuk bergerak bagi mempertahankan kestabilan negara.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut meluahkan kegembiraan kerana selama beberapa hari acara besar-besaran berkenaan berlangsung, ia menjadi peluang buatnya dan ahli untuk berbahas mengenai hala tuju perjuangan parti tersebut.
“Perhimpunan kali ini turut menggambarkan kematangan kita sebagai sebuah parti siasah yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat serta memperkukuhkan ketumbukan untuk bergerak ke hadapan menongkah kedinamikan politik bersama Kerajaan Perpaduan.
“Marilah kita bersatu, bersetia dan berkhidmat sebagai satu keluarga besar UMNO untuk memastikan kejayaan pada pilihan raya di enam negeri yang bakal tiba,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau juga turut menzahirkan penghargaan buat seluruh ahli UMNO yang masih setia memperjuangkan parti tersebut.
“Terima kasih atas kebersamaan dan semangat juang yang telah ditunjukkan oleh para perwakilan.
"Selamat pulang ke bahagian masing-masing. Semoga kita terus beristiqomah membawa UMNO ke destinasi kecemerlangan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!