Kejar komisen bukan alasan pemandu lori bawa lebih muatan

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUANTAN - Alasan gaji pokok rendah dan terpaksa bergantung kepada komisen tidak wajar dijadikan alasan bagi pemandu lori untuk membawa lebih muatan.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, pemandu lori sepatutnya peka tindakan itu menyalahi undang-undang dan berisiko bukan sahaja kepada keselamatan mereka malah pengguna jalan yang lain.

Menurutnya, tindakan itu biarpun mendapat bayaran tinggi namun tidak berbaloi sekiranya ditahan.

Ali Akbar Othman
Ali Akbar Othman

"Lebih membimbangkan, sikap tamak segelintir pengusaha dan pemandu itu, boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan orang lain sekiranya berlaku kemalangan.

"Pada masa sama, tindakan mereka juga akan merosakkan jalan yang bukan sahaja menjejaskan keselesaan malah berisiko berlaku kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna lain," katanya.

Ali Akbar berkata, pemandu lori kena ada kesedaran kerana mereka juga memandu kereta atau menunggang motosikal.

"Mereka sendiri akan mengalami ketidakselesaan sekiranya melalui jalan rosak malah ada yang terbabit kemalangan.

"Sepatutnya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk keselamatan dan bukan menggadaikan nyawa hanya untuk komisen," katanya.

Sementara itu katanya, agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu meningkatkan operasi bagi membendung aktiviti lori menyalahi undang-undang.

"Strategi penguatkuasaan juga perlu berubah dalam berdepan taktik licik segelintir pengusaha dan pemandu lori yang sengaja melanggar undang-undang dan peraturan demi mengaut keuntungan.

"Pergerakan penguat kuasa sentiasa diintip malah lokasi sekatan jalan raya cepat dikesan dan dapat dielakkan.

"Justeru kaedah-kaedah baharu perlu difikirkan supaya tindakan penguatkuasaan yang dijalankan akan lebih berkesan dan menyeluruh dalam menangani isu tersebut," katanya.

Beliau berkata, masalah itu perlu ditangani dan tidak boleh dibiarkan kerana kesannya melibatkan banyak pihak.

"Seperti mana yang kita tahu, isu jalan rosak ini sering mendapat aduan dan rungutan penduduk.

"Antara penyebabnya lori bawa lebih muatan namun yang sering dipersalahkan kerajaan, agensi berkaitan dan wakil rakyat kawasan," ujarnya.

Ali Akbar berkata, kerajaan mengeluarkan peruntukkan besar untuk membaiki jalan dan menjadi satu kerugian apabila jalan dibaiki kembali mengalami kerosakan akibat aktiviti lori muatan berlebihan.

"Justeru agensi berkaitan perlu proaktif dalam menangani isu ini dan elakkan berlaku unsur rasuah dalam tugas penguatkuasaan yang dijalankan.

"Saya menyambut baik tindakan yang telah dijalankan pihak JPJ melalui operasi sebelum ini termasuk operasi khas Ops Mammoth yang dijalankan sekitar daerah ini Khamis lalu.

"Pada masa sama, orang ramai juga perlu mainkan peranan dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat lori-lori melanggar peraturan dan membawa lebih muatan di kawasan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!