PRN: Kelantan umum tarikh bubar DUN minggu ini
KOTA BHARU - Kelantan dijangka mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini, sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Memetik laporan Astro Awani pada Ahad, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengumuman tarikh itu dijangka dibuat selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis (Exco) Kerajaan Negeri pada Rabu.
"Insya-ALLAH kita tunggu masa mesyuarat Exco minggu ini," katanya.
Sementara itu, Timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah turut memaklumkan perkara sama.
"Tentang pembubaran, Menteri Besar akan isytihar. Minggu ini dia isytihar tarikhnya. Tunggulah," katanya.
Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN dengan tujuh diwakili Ahli DUN (ADUN) UMNO, satu ADUN Bersatu dan selebihnya ADUN Pas.
Sebelum ini, Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, proses pembahagian kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional di enam negeri yang terlibat dalam PRN, hampir selesai.
Tempoh tamat penggal DUN Kelantan berakhir pada penghujung bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!