Seorang maut, tiga cedera insiden tembakan di Stockholm
STOCKHOLM - Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan berhampiran Farsta Centrum di selatan Stockholm pada Sabtu.
Dua tangkapan dibuat berhubung kejadian itu, menurut Polis Sweden dalam satu kenyataan media.
Insiden itu menjadikan jumlah yang terbunuh dan cedera akibat keganasan senjata api di Stockholm kepada tujuh dalam masa kurang 24 jam.
Menurut statistik yang dikeluarkan Polis Sweden, 18 orang terbunuh manakala 41 cedera dalam 144 insiden tembakan di seluruh negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Sepuluh kematian direkodkan di wilayah Stockholm.
Tahun lalu, 62 kematian direkodkan di Sweden, menjadikan 2022 tahun terburuk dalam rekod sejak 2016.
Sebahagian besar keganasan senjata api adalah berkaitan pertempuran antara kumpulan, menurut Polis Sweden. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!