Malaysian Tigress kelima terbaik Asia
SKUAD hoki remaja wanita kebangsaan mengakhiri cabaran Piala Remaja Asia 2023 di kedudukan lima terbaik selepas membelasah Kazakhstan 7-0 pada perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam di Kakamigahara, Jepun pada Ahad.
Aksi di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Azmyra Mia Sofea Azhairy yang muncul pemain terbaik perlawanan, membuka tirai jaringan gol padang pada minit ke-14.
The Malaysian Tigress bimbingan Lailin Abu Hassan menambah jaringan menerusi Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.
Jaringan padang Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pada minit ke-28 membolehkan skuad negara mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.
Babak kedua, Malaysian Tigress menambah jaringan keempat hasil penyudah pukulan sudut penalti Dian Nursyakira pada minit ke-36 sebelum Azmyra Mia meledak gol kelima menerusi jaringan padang.
Nur Shamine dan Siti Nur Irdina Mohd Nor menambah koleksi gol peribadi masing-masing apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-53 dan ke-55 sekali gus kemenangan pasukan.
“Sepanjang kejohanan ini berlangsung, pemain menunjukkan prestasi yang baik walaupun kebanyakan mereka baru pertama kali beraksi di pentas antarabangsa tertinggi, namun menunjukkan satu kesungguhan tinggi untuk mencapai tahap permainan terbaik.
“Saya harap pemain akan terus memperbaiki diri, pendedahan serta pengalaman yang diraih pada kejohanan ini akan membantu mereka untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” kata Lailin dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Kata Lailin, perancangan pasukan seterusnya adalah meneruskan latihan secara berfasa, selain turut mengharapkan sokongan semua pihak dalam menghadapi kejohanan akan datang.
Sebagai rekod, The Malaysian Tigress gagal mara ke separuh akhir di Kakamigahara apabila menduduki tempat ketiga dalam saingan Kumpulan A selepas melakar dua kemenangan dan tewas dua kali.
Anak buah Lailin kemudian membelasah Hong Kong 10-1 pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga lapan, Jumaat lepas sebelum bertemu Kazakhstan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!