Jual durian sekadar suka-suka, niat bersedekah - Aliff Syukri
SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Panas terik tidak menghalang orang ramai beratur panjang mendapatkan durian murah di Wisma D'Herbs.
Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 3.15 petang pada Ahad mendapati orang ramai menyerbu wisma berkenaan bagi mendapatkan durian premium antaranya blackthorn, tekka dan musang king dengan harga serendah RM30 bagi setiap biji.
Pengasas D'Herbs Holding ( M) Sdn Bhd, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bersama isteri, Datin Seri Nur Shahida Abdul Rashid dilihat sibuk menguruskan jualan sambil dibantu beberapa pekerja.
Aliff Syukri ketika ditemui meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana perniagaan durian diusahakan sejak seminggu lalu mendapat sambutan menggalakkan.
"Sambutan di luar jangkaan, saya tak sangka kerana niat saya nak bersedekah sambil berniaga. Orang lain jual musang king sampai RM50 ke RM70 tapi saya jual serendah RM30 saja.
"Saya gembira sangat sebab dekat sini, saya tak perlu sewa tapak dan saya berniaga sekadar suka-suka, cukup untuk bayar yuran anak sekolah, " katanya.
Katanya, dia menjual durian berikutan lambakan bekalan di kebun dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pembeli Selangor khususnya orang Kota Damansara.
Katanya, walaupun mendapat sambutan luar jangkaan namun dia tidak bercadang untuk membuka tapak di lokasi lain.
"Saya buka memang khusus untuk Kota Damansara sahaja. Pada awalnya saya jual durian sebab sudah selalu bersedekah di masjid, kawan-kawan dan saudara mara.
"Namun, mengambil kira kos baja dan upah pekerja yang semakin mahal, menyebabkan saya mula jual dekat taman perumahan secara car boot sale dengan tiga jam saja dapat RM5,000.
"Dari situ, saya mula serius jual hasil kebun kepada orang ramai di Wisma D' Herbs. Saya ada kebun durian sendiri, itu sebab saya nak semua orang merasa (makan durian)," katanya.
Ujarnya, setiap hari hampir 1,500 kilogram durian terjual termasuk durian kampung bersaiz besar yang seawal jam 3 petang habis terjual susulan ditawarkan harga serendah RM5 sebiji.
"Jujurnya ada kes kecurian dan insiden kekecohan kerana ada yang tidak dapat stok. Saya harap jangan ada yang marah cara saya jual seperti ini.
"Ada orang kata saya jual tidak sistematik, namun saya bagi tahu saya bukan peniaga durian yang profesional tetapi berniaga secara suka-suka sahaja.
"Saya minta maaf, saya bukan nak bersaing dengan sesiapa, niat saya hanya ingin berniaga sambil bersedekah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!