Hasrat bina KXP berubah bila Kedah ditadbir PN - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mahu merealisasikan pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), namun hasrat itu berubah apabila Kedah kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kronologi projek KXP yang dijenamakan semula kepada Kedah Aerotropolis telah pun bermula sejak 2013, ketika negeri ini ditadbir oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Boleh periksa kronologi Kedah Aerotropolis sejak 2013 lagi. Sepanjang garis masa itu, mereka (pemimpin PH) pun ada pembabitan dan ada sentuhan mereka juga. Terima kasih atas jasa mereka.

“Dulu mereka pun usaha nak buat (KXP) juga, tapi sekarang tidak lagi, mungkin terpaksa mementingkan negeri sebelah daripada negeri sendiri kerana nyawa politik ada di sana,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan projek-projek mega seperti itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan dan mengambil masa lama.

“Bukan semudah nak mengisi borang permohonan kemasukan ke universiti (UPU) atau menulis surat mohon mini tar dalam kampung,” jelasnya.

Pengerusi PN Kedah itu membuat kenyataan tersebut bagi menangkis dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengatakan kerajaan Kedah tidak pernah mengemukakan permohonan untuk membina KXP kepada kerajaan Persekutuan.

Dalam sesi Townhall Ikon Madani di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu, Saifuddin memaklumkan surat permohonan rasmi menyatakan hasrat Kedah itu perlu diserahkan terlebih dahulu mengikut tertib dan peraturan seperti termaktub dalam urusan kerajaan dengan kerajaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut ‘memperbetulkan’ kenyataan Saifuddin berhubung peruntukan RM1.6 bilion.

“Projek RM1.6 bilion yang digembar-gembur itu bukan projek baharu Kerajaan Perpaduan, ia projek-projek dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang telah disenaraikan sejak beberapa tahun lalu.

“Ada projek sedang disiapkan, ada projek sambungan, ada yang akan siap beberapa tahun lagi, mungkin juga ada yang tak akan siap dalam RMK12 pun,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dakwaan keseluruhan projek bernilai RM1.6 bilion itu adalah pakej yang dibawa oleh Kerajaan Madani adalah sangat tidak wajar.

“Claim RM1.6 bilion itu seluruhnya datang bersama kerajaan baharu ini sangatlah naif dan poyo.

“Duit kerajaan Pusat atau negeri sememangnya akan diluluskan dalam bajet tahunan mengikut anggaran kemajuan projek dalam tahun anggaran belanjawan itu diluluskan,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memberitahu, projek yang belum siap akan dimasukkan semula dalam belanjawan tahun berikutnya sehingga seluruh projek terbabit siap sepenuhnya.

“Ada projek mengambil masa tujuh hingga lapan tahun sejak RMK10 dan RMK11 lagi. Jadi RM1.6 bilion itu adalah projek-projek yang sedang berjalan di Kedah. Bukanlah angka yang mengujakan, seperti menyerok nasi goreng kunyit pagi tadi daripada nasi yang tak habis makan malam tadi, tentulah lebih baik daripada tak ada apa langsung nak menyerok,” katanya secara sinis.

Sebelum itu, Saifuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah menegaskan, kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kedah apabila menyalurkan peruntukan RM1.6 juta merangkumi 453 projek pada tahun ini, melibatkan projek baharu atau sambungan berbentuk fizikal mahupun non fizikal.

“Yang menghairankan saya, banyaknya masa menteri sekarang, ada (masa) untuk menyebar propaganda berbanding kerja hakiki sebagai menteri. Orang ini (Saifuddin) Menteri Dalam Negeri (KDN) tau, bukan Menteri Kerja Raya.

“Awat (kenapa) bersyarah kat (pada) mahasiswa yang cerdik pandai tapi sembunyi-sembunyi, kelentong mau kencang, kerja hakiki ke laut,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!