'Menteri Agama sudah jawab soalan Ko Ham di Parlimen' - Fahmi
SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membidas tindakan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang menyebarkan maklumat yang tidak jelas.
Beliau mempersoalkan hantaran Annuar di Facebook yang berkongsi gambar keratan berita kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham pada 2014 yang mahu umat Islam menghormati murtad.
Gambar berkenaan juga mengandungi soalan Parlimen yang meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana perkahwinan seorang warganegara Malaysia beragama Islam yang berkahwin dengan seorang bukan Islam di luar negara secara sah apabila balik ke Malaysia dapat diktiraf di Malaysia.
Fahmi berkata, laporan tersebut bukan merupakan berita terbaharu.
"Kenapa tak tulis tarikh berita Ngeh Koo Ham itu dari 2014? Itu bukan berita sekarang, kenapa tak tulis supaya jelas?
"Soalan Parlimen itu bertarikh 8 Jun, dan memang sudah ada jawapan dari Menteri Agama pun. Boleh cari dalam website Parlimen pun. Kenapa tak masukkan sekali jawapan Menteri?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam hantaran sama, Fahmi turut memuat naik salinan jawapan pada soalan Parlimen berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, perkahwinan yang melibatkan antara orang Islam dan bukan Islam adalah tidak dibenarkan dan tidak diktiraf di bawah undang-undang.
Subseksyen 3(3), Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai bagi seseorang Islam atau bagi mana-mana orang yang berkahwin di bawah undang-undang Islam dan tiada perkahwinan boleh diupacarakan atau didaftarkan di bawah Akta tersebut.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan agar setiap maklumat yang diperoleh di media sosial disahkan sebelum disebarkan.
"Jangan hingga kita terlibat menyebar fitnah ciptaan pihak tak bertanggungjawab.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia & Polis Diraja Malaysia akan terus pantau dan bertindak, terutama untuk tangani isu 3R (raja (royalty) agama (religion) dan kaum (race),"katanya.
Sebelum itu, Annuar dalam hantaran yang dinyatakan berkata: "Lagi.... Nah Sekarang ada tukang pencuci kan?... Sila cuci," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!