'DAP akan bantu UMNO habis-habisan' - Kor Ming
IPOH - Semua parti dalam kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan berbanding mengungkit kisah silam.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya sendiri sudah melupakan segala perseteruan yang berlaku dengan UMNO sebelum ini.
Menurutnya, seperti kenyataan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kesemua 19 parti yang berada dalam kerajaan Persekutuan akan bersatu hati mempertahankan kerajaan.
"Presiden UMNO pun dah 'move on' dan sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO membantu DAP untuk memperkukuhkan kerajaan Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara.
"Kita akan membantu UMNO habis-habisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Raya Ipoh di sini pada Ahad.
Sementara itu, Kor Ming mengajak Pemuda UMNO untuk melupakan apa yang berlaku sebelum ini dan lebih bersifat dinamik.
Pada 8 Jun lalu, Pemuda UMNO menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga menghiris hati semua ahli parti itu hingga kini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.
Sebelum ini media melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meminta Pemuda UMNO tidak mengungkit kisah lama sebaliknya fokus kepada usaha memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
ARTIKEL BERKAITAN:
‘Lagi baik kalau DAP minta maaf pada UMNO’ - Tok Mat
DAP perlu minta maaf kalau ikhlas nak bersahabat - Akmal
Akmal tak mahu tarik balik kenyataan keras terhadap DAP
'Pertelingkahan DAP, UMNO tidak sepatutnya dipanjangkan' - Dominic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!