Agihan kerusi PRN Selangor dimuktamad Khamis depan - Amirudin

Amirudin (tengah) merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor di UIAM di sini pada Ahad.
Amirudin (tengah) merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor di UIAM di sini pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan berkongsi perkembangan terbaharu agihan kerusi PH-BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor antara Khamis atau Jumaat depan.

Amirudin berkata, pengumuman itu akan dibuat jika mendapat lampu hijau daripada pimpinan pusat.

"Perkembangan terkini hanya boleh saya umumkan selepas Khamis atau Jumaat depan. Itu pun jika saya diberi kebenaran berbuat demikian.

"Saya berpandangan pimpinan utama parti perlu memuktamadkan (agihan kerusi) dan saya bukan di posisi untuk membuat keputusan tersebut," katanya mengulas berkembang agihan kerusi PH-BN Selangor.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Ahad.

Jumaat lalu, Amirudin berkata, berbaki tiga kerusi lagi belum diselesaikan hasil rundingan antara PH-BN di Selangor.

Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan tiga daripada 56 kerusi yang belum mencapai kata sepakat tersebut.

"90 peratus kerusi sudah dimuktamadkan hanya tiga yang belum selesai. Saya rasa ia mampu diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Perbincangan di peringkat negeri telah diselesaikan dan keputusan muktamad adalah di peringkat pusat. Jika cepat selesai lagi baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!