Mahasiswa harus diberi ruang kongsi pendapat, kritikan - PM

Anwar dikerumuni mahasiswa ketika menghadiri Temu Anwar di USM pada Ahad.
Anwar dikerumuni mahasiswa ketika menghadiri Temu Anwar di USM pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Para pelajar harus diberi ruang untuk berkongsi pandangan dan kritikan bagi meningkatkan taraf dan mutu universiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Selepas ini, saya bercadang untuk berjumpa dengan naib-naib canselor semua universiti bagi membincangkan perkara ini.

“Hanya dengan membenarkan pelajar berkongsi pandangan dan kritikan, kita boleh meningkatkan taraf universiti,” katanya dalam program Temu Anwar@USM di Dewan Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini pada Ahad.

Anwar menambah, pelajar pengajian tinggi juga perlu menimba ilmu supaya dapat membuat penilaian yang baik serta boleh membentuk pemikiran kritis.

"Negara mengharapkan generasi muda khususnya dalam kalangan mahasiswa yang mempunyai karisma, pendirian, keyakinan, keberanian, matlamat dan tujuan hidup yang jelas.

"Kita khususnya mahasiswa tidak boleh berada dalam kerangka perkauman sempit atau bersikap pelampau agama serta menanam kebencian dalam kalangan masyarakat," tambah beliau lagi.

Ujar Anwar, prinsip yang termeterai dalam Perlembagaan tentang kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu dan raja-raja Melayu diterima namun ia bukan alasan untuk menanam bibit-bibit kebencian.

"Kita terima kenyataan dan prinsip yang termeterai namun ia bukan alasan untuk kita tanam bibit-bibit kebencian kerana semua rakyat tanpa kira warna kulit dan keturunan mempunyai hak.

"Oleh itu, ini ketikanya yang mana, anak-anak muda bangkit mempertahankan nilai-nilai negara yang kita pegang selama ini," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pemimpin yang baik harus banyak membaca bagi membuka minda dalam memimpin dan membantu rakyat dengan menggunakan ilmu.

Beliau memberi contoh dalam polemik tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang yang mana semua perkara itu sudah diperjelaskan dalam banyak buku dan boleh difahami serta diketahui menerusi amalan pembacaan.

Anwar berkata, untuk menjadi cerdik dan berakal, seseorang pemimpin tidak boleh bergantung kepada sebuah buku sahaja sebaliknya perlu membaca ratusan buku untuk memperoleh banyak ilmu.

"Jika tidak membaca, tidak mungkin kita akan jadi seorang 'public intelectual' yang mana, amalan membaca akan meletakkan seseorang itu daripada orang biasa kepada orang yang terdidik.

"Sebab itu saya kata, 'little knowledge is dangerous'. Jadi baca (buku). Kalau mahu jadi pemimpin lebih-lebih lagi dalam dunia mencabar ketika ini, jangan main suara picisan sebaliknya guna ilmu dan selamatkan rakyat," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!