UMNO, Pas Johor banyakkan program agenda perpaduan ummah
JOHOR BAHRU - UMNO Johor akan terus perbanyakkan program yang menjuruskan kepada agenda perpaduan ummah bersama Pas di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, menerusi agenda tersebut, UMNO dan Pas di Johor akan berusaha untuk menjaga kesucian agama Islam dan kepentingan masa depan orang Melayu.
“Jadi melalui penyatuan ummah dua parti Melayu yang besar ini, kita dapat merasakan faedah dan manfaat penyatuan ini.
“Sebab itu UMNO Johor akan terus memperbanyakkan lagi program-program penyatuan ummah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ceramah Perdana Penyatuan Ummah yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini semalam.
Hasni berkata, pada masa sama, UMNO dan Pas di Johor mengharapkan supaya parti seperti Bersatu juga menganjurkan program seumpama itu.
“Kalau mereka merasakan bahawa parti mereka adalah parti yang memperjuangkan masa depan orang Melayu dan ingin mempertahan serta menegakkan kesucian orang Islam.
“Tapi saya percaya Bersatu tidak akan dapat menandingi UMNO dan Pas ini dalam usaha penyatuan ummah ini kerana kita adalah dua parti besar yang mendapat sokongan padu daripada rakyat dan kita teruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya melihat kerjasama dua parti itu sebagai fenomena baharu dan memperlihatkan satu gelombang yang sedang digembleng.
"Kerjasama parti dengan UMNO menerusi agenda penyatuan ummah bukanlah untuk memerangi masyarakat bukan Islam seperti didakwa segelintir pihak. Kerjasama di antara parti-parti politik dalam blok pembangkang, itu perkara biasa dalam sistem demokrasi dan pengalaman pilihan raya.
“Jadi hendaklah dianggap perkembangan ini sebagai satu perkembangan yang sihat. Kalau kata persaingan pun dengan PH, persaingan yang sihat. Jadi ia menjadikan satu semak dan imbang,” katanya.
Bekas ADUN Puteri Wangsa itu berkata, berikutan situasi semasa kedudukan Islam, orang Melayu dan raja-raja agak membimbangkan, maka mesti ada signal jelas daripada rakyat untuk membuat teguran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!