PPRPM bawa isu p-hailing kepada Adam Adli
KUALA LUMPUR - Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyerahkan memorandum berkaitan cadangan penambahbaikan p-hailing kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli pada Jumaat.
Ahli Majlis Pimpinan AMK Pusat, Bryan Ng Yih Miin berkata, penyerahan memorandum itu turut disertai oleh golongan p-hailing orang kurang upaya (OKU), Indian Riders Club, Gabungan E-hailing Malaysia yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya.
Menurutnya, menerusi pertemuan itu, pelbagai isu utama yang dibincangkan antaranya, pembayaran setiap perjalanan, ketiadaan pengiraan bayaran yang telus, keperluan interface mudah alih yang jelas serta perlunya badan pengawalseliaan dan tribunal khas.
“Saya turut menyuarakan isu berkaitan peraturan dalam mengawal kadar bayaran, pengiktirafan penghantar sebagai pekerja gig, kekurangan perlindungan keselamatan sosial, kekurangan kawal seliaan serta usaha untuk menyediakan latihan pekerjaan dan penempatan pekerjaan bagi para penghantar makanan.
“Dalam kepesatan ekonomi gig, saya juga melihat kepentingan untuk memastikan penghantar makanan menjalani latihan pembangunan. Ini termasuklah latihan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris seperti yang ditawarkan secara kerjasama antara Food Panda dan SOLS Edu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, penghantar makanan perlu diberikan bagi meningkatkan kemahiran komunikasi di samping memantapkan pembangunan kendiri.
“Kami berbesar hari kerana beliau (Adam Adli) bersedia untuk menjadi penghubung antara kementerian berkaitan bagi membawa isu yang diutarakan,” kata Bryan.
Tambahnya lagi, dengan kerjasama itu, isu dan kesulitan yang dihadapi oleh para penghantar p-hailing dapat diselesaikan termasuk mendapat perlindungan dan keadilan yang sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!