CKJ Racing kuasai pusingan keempat
PASUKAN Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, menguasai pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Selatan, apabila merangkul kedudukan 1-2 kategori perdana, CP150 pada Ahad.
Md Izzat Zaidi Md Salehan kembali menemui rentaknya untuk meraih gelaran pertama musim ini, selepas berjaya memecut daripada kelompok besar untuk kedudukan pertama selepas tiga pelumba di hadapan terlibat dengan kemalangan, pada pusingan terakhir.
Pelumba berusia 27 tahun itu, meraih gelaran selepas melengkapkan 11 pusingan dalam masa 14 minit dan 03.436 saat, diikuti Md Akid Aziz (0.556s) dan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin (0.558s).
Md Izzat berharap untuk mengekalkan momentum kemenangannya selepas melalui permulaan musim yang mencabar, berikutan proses pemulihan dari kecederaan buku lali yang menyakitkan sejak kemalangan pada perlumbaan terakhir 2022, Disember lepas.
"Pertamanya terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan jentera yang baik, saya dapat menyaingi pelumba lain walaupun perlumbaan hari ini sangat sengit. Saya berjaya menggunakan peluang dengan baik untuk mendahului selepas berlaku perlanggaran pada selekoh ke ketiga pusingan terakhir.
"Motivasi saya naik balik dengan kemenangan ini setelah saya cedera agak lama, saya harap dapat kekal konsisten sehingga hujung musim. Sasaran saya ialah untuk berada dalam lima teratas kedudukan keseluruhan musim ini," katanya yang mula bersaing dalam Cub Prix sejak berumur 15 tahun.
Md Izzat yang menamatkan tiga pusingan pertama musim ini di kedudukan keempat, kelapan dan keenam, kini berjaya melonjak ke tempat kedua keseluruhan dengan 56 mata, ketinggalan sembilan mata di belakang Md Akid.
Pelumba Honda Yuzy Estremo, Azroy Hakeem Anuar berada di tempat ketiga dengan 54 mata, manakala Kasma Daniel Kasmayudin mewakili Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, yang sebelum ini mendahului kedudukan itu, turun ke tempat keempat (51 mata).
Kasma Daniel terlepas pusingan keempat dan kelima kerana sedang menjadi pelumba ganti kepada pelumba Moto2, Kohta Nozane dari pasukan Correos Prepago Yamaha VR46, yang cedera, di Grand Prix Itali minggu ini dan Jerman pada minggu depan.
Kejayaan hari ini juga menyaksikan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing menguasai kedudukan pasukan dengan 151 mata, diikuti Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (88 mata) dan Honda Yuzy Estremo (84 mata).
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut hadir, berharap untuk melihat penganjuran lebih banyak perlumbaan seperti Cub Prix, bagi meningkatkan minat lebih ramai golongan belia dan keluarga dalam arena permotoran yang selamat.
"Tahun ini kita menyediakan RM20 juta untuk tambah baik fasiliti SIC... harap litar ini terus menjadi destinasi permotoran dan selepas ini kita nak memperkenalkan fasiliti ini kepada duta-duta supaya kita ada acara antarabangsa. Apabila ada acara antarabangsa, industri sekitar seperti penyediaan makanan dan hospitaliti turut mendapat manfaat juga," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!