Teresa Kok bidas Zoo Singapura

Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim hari ini melahirkan kekecewaan berikutan sentimen negatif terhadap minyak sawit yang turut berlaku di Singapura.

Sebagai contoh, beliau berkata Zoo Singapura beberapa kali mensensasikan isu minyak sawit dan penebangan hutan di kawasan habitat orang utan.

Menurutnya tindakan itu mencemarkan imej negara pengeluar minyak sawit di rantau ini di sebalik usaha progresif ke arah kemampanan dan pemuliharaan hidupan liar.

“Dalam hal ini, Zoo Singapura bertindak terburu-buru, sekali gus mempengaruhi emosi kebanyakan pengunjung yang kurang kesedaran mengenai hal itu,” katanya dalam ucap tama bertajuk “Menghubungkan Pasaran, Membentuk Konsensus: Perkongsian bagi Kemampanan Minyak Sawit” semasa Dialog Singapura ke-enam mengenai Kelestarian Sumber Dunia di sini hari ini.

“Sehubungan itu, demi kepentingan perpaduan ASEAN, kita harus memberi sokongan antara satu sama lain terutamanya jika perkara itu adalah berasaskan fakta dan digambarkan secara telus," katanya.

Teresa Kok berkata jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh bersatu hati terhadap andaian bahawa pengeluaran dan penggunaan minyak sawit dan produk berasaskan hutan yang tidak mampan, “negara-negara ASEAN pula perlu bersatu hati untuk memerangi pandangan yang tidak adil dan berbeza itu.”

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli dan Pengerusi Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Profesor Madya Simon Tay.

Dalam respons segera terhadap ucapan Teresa Kok itu, Simon yang juga moderator dialog tersebut mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin sebaik sahaja beliau memberi jaminan “akan mengangkat telefon dan berbincang dengan Zoo Singapura.”

Artikel Berkaitan:

Sejajar tema dialog tersebut, “Laluan ASEAN Ke Arah Kemampanan: Sasaran Pada 2020 dan Selanjutnya,” Teresa Kok menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menyatakan pakatan itu sebagai kaukus ekonomi yang berpengaruh dan antara ekonomi pengeksport terbesar, “adalah sangat penting.”

“Umum mengetahui bahawa komoditi yang dikeluarkan di negara rantau ASEAN seperti minyak sawit dan kelapa, getah dan kayu diniagakan dan dieksport di seluruh dunia. Kedua-dua pengeluar dan pedagang, termasuk dari Singapura menerima manfaat daripada urusan ini,” katanya.

Teresa Kok turut mengakui minyak sawit sering menjadi sasaran pertubuhan bukan kerajaan dan reaksi pengguna sejak akhir-akhir ini akibat kempen anti minyak sawit global yang sangat provokatif dan merendahkan Malaysia sebagai negara pengeluar.

“Sebahagian besar daripada aktiviti tersebut dibiayai oleh pesaing kami,” katanya.

Teresa Kok berkata terdapat dakwaan berlaku penebangan hutan, pembunuhan hidupan liar, ketidakadilan sosial terhadap pekerja ladang dan stigma terhadap minyak sawit dari segi persepktif nutrisi dan kesihatan.

“Saya berani menyatakan wujudnya agenda anti sawit yang aktif dari Singapura sendiri, yang kadang kala disokong oleh dasar yang ditetapkan sebilangan agensi di sini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata cabaran yang terbesar kebanyakannya dari negara-negara Eropah, misalnya undang-undang baharu atau masih menunggu kelulusan daripada negara-negara pengimport.

Ini termasuk Akta Perwakilan Kesatuan Eropah terhadap biobahan dan Rang Undang-Undang Pemerolehan Bebas Penebangan Hutan yang memberikan tekanan signifikan terhadap minyak sawit dan produk yang dihasilkan daripada komoditi sumber hutan.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia merupakan penyokong kuat pengurusan hutan.

“Sejak ikrar Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992 dilafazkan, kami telah mengekalkan kira-kira 54.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan tanah di Malaysia menerusi kawasan liputan hutan berdasarkan angka pada 2017, namun dunia sering menyaksikan ia sukar untuk diasimilisasi.

“Kami merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit. Jika anda pengeluar minyak sawit, anda mesti seperti orang gila yang berlari bersama-sama gergaji rantai dan menebang hutan setiap hari dengan keluasan 50 padang bola. Naratif ini adalah biasa, namun intelektual, dan diharap audiens di dewan ini percaya kenyataan ini.

“Hakikatnya, kami menanam kira-kira 5.85 juta hektar kelapa sawit. Satu perubahan besar terhadap dasar yang diamalkan kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini adalah mengehadkan peluasan perladangan kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar, yang dijangka dicapai pada 2023,” kata beliau.

Teresa Kok berkata tumpuan Malaysia kini adalah untuk menggunakan material penanaman yang memberi hasil yang banyak dan meningkatkan produktiviti tanpa perlu dikembangkan kepada hutan atau tanah gambut

“Ini bermakna, kita boleh mencapai hasil minyak secara progresif daripada empat tan metrik per hektar, yang ketika ini empat hingga 10 kali lebih tinggi berbanding minyak bijian yang lain kepada sekurang-kurangnya enam hingga lapan tan metrik per hektar,” katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!