Uniknya merpati 'racing homer'
KUANTAN - Keupayaannya terbang jarak jauh ribuan kilometer tanpa henti dan mampu mengingati lokasi sangkar untuk kembali antara keistimewaan burung merpati jenis Racing Homer hingga menarik minat seorang kakitangan awam di sini memelihara dan membiaknya sebagai hobi sejak hampir 10 tahun lalu.
Fakta itu dibuktikan Ahmad Azizul Yusuf, 40, apabila burung merpati miliknya yang dilepaskan di Kampung Geting, Tumpat, Kelantan kira-kira jam 8 pagi Ahad selamat sampai ke sangkar di belakang rumahnya di Kemunting di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada hari yang sama dengan jarak tempuh kira-kira 300 kilometer (jarak udara).
Menurutnya, burung merpatinya juga pernah menyertai pelumbaan dengan dilepaskan di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu dan kembali semula ke sangkar di Kuantan dalam tempoh lima jam.
"Walaupun perlumbaan yang disertai tidak menawarkan hadiah lumayan, saya puas dan menjadi satu pencapaian membanggakan apabila burung-burung yang dilepaskan selamat kembali.
"Biasanya dalam perlumbaan, lebih 10 ekor dilepaskan dan setiap burung tiba secara berperingkat.
"Ada juga yang gagal pulang mungkin tersesat, atau menjadi mangsa burung pemangsa ketika terbang dalam perjalanan pulang," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Burung sertai perlumbaan perlu jalani latihan
Ahmad Azizul yang menceburi hobi menternak burung merpati Racing Homer atau Merpati Pos sejak tahun 2013 berkata, burung yang akan menyertai perlumbaan perlu menjalani latihan khusus selepas mencapai usia enam bulan ke atas.
Beliau berkata, burung-burung akan dilepaskan untuk latihan jarak secara berperingkat.
"Burung yang sesuai untuk menyertai perlumbaan mesti berasal dari sangkar perumah yang ditetapkan kerana ia berupaya mengingati lokasi itu sahaja.
"Biasanya burung jantan lebih sesuai mengambil kira kekuatannya berbanding betina.
"Menariknya, jika burung betina dilepaskan dan mampu balik semula dalam tempoh ditetapkan, harganya akan lebih tinggi.
"Biasanya burung yang berwarna lebih gelap dilepaskan berbanding putih kerana warna cerah mudah menjadi sasaran burung pemangsa terutama helang sewah," jelasnya.
Menceritakan perjalanan hobinya itu, Ahmad Azizul berkata, dua mula menternak merpati Racing Homer bermula dengan tiga pasang burung jenis itu yang dibeli di Kelantan.
"Setakat ini hampir 200 ekor dalam peliharaan tidak termasuk yang sudah dijual.
"Burung merpati cepat membiak dengan penjagaan mudah hanya perlu sediakan sangkar yang sesuai, sediakan makan minum, ubatan dengan kos antara RM200 hingga RM300 sebulan," katanya.
Jana pendapatan sampingan
Menurutnya, selain sebagai hobi, penternakan burung merpati yang diusahakan mampu menjana pendapatan sampingan hasil jualan anak atau induk.
"Harga yang ditawarkan antara RM150 hingga RM500 sepasang dan paling tinggi pernah terjual RM1,000.
"Rekod tertinggi burung merpati jenis ini yang pernah dijual penternak lain mencecah RM 7,000," ujarnya.
Selain itu, Ahmad Azizul juga turut menawarkan khidmat sewaan burungnya untuk majlis tertentu sekiranya ada permintaan dengan kadar RM15 per ekor.
"Allhamdulillah, khidmat ini semakin mendapat permintaan," katanya.
Berkongsi pengalamannya dalam penternakan merpati Racing Homer, Ahmad Azizul berkata, peminat burung yang ingin membeli burung jenis itu perlu tahu keperluannya sama ada untuk perlumbaan atau sebagai induk.
Katanya, untuk perlumbaan burung mesti di bawah usia enam bulan.
"Burung melebihi usia itu sesuai untuk induk dan perlu dikurung.
"Pernah ada kejadian, burung yang dijual kepada pembeli di Temerloh beberapa bulan lalu terlepas dari sangkar pemilik dan kembali semula ke sangkar asalnya di rumah saya di Kuantan ini," ujarnya.
Selain merpati Racing Homer, sebagai peminat burung, Ahmad Azizul turut membela merpati jenis lain dan beberapa jenis burung hiasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!