Selaraskan pola pergerakan gajah, anggaran jisim makanan - Pakar
SHAH ALAM - Pakar menyarankan pola pergerakan gajah perlu diselaraskan dengan pola anggaran jisim makanan mengikut musim habitat asal kawanan gajah bagi mengatasi konflik hidupan liar itu menceroboh penempatan manusia.
Pensyarah Kanan Pengurusan Hidupan Liar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, kerjasama antara pakar amat diperlukan bagi memastikan langkah itu berhasil.
“Perlu ada kolaborasi di antara pakar vegetasi dan pakar gajah dalam merangka peta pergerakan gajah berkeliaran.
“Jika perlu, makanan gajah liar di hutan perlu diberi subsidi tak langsung iaitu melalui penanaman aktif tumbuhan bernutrisi tinggi secara silvikultur,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan bangunan dan beberapa kelengkapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah di sini mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian Khamis lalu.
Serangan sekitar jam 2 pagi itu mengakibatkan kerosakan di bahagian tingkap kelas pra sekolah dengan jeriji besi bengkok dan cermin pecah.
Justeru, Tengku Rinalfi menegaskan penerokaan habitat gajah perlu dipantau secara lebih meluas bagi mengatasi konflik hidupan liar yang memasuki penempatan manusia.
Menurutnya, penerokaan secara kecil-kecilan dan tanpa permit tidak nampak dalam pemantauan tetapi ia boleh memberi impak yang tinggi.
“Implikasinya dapat dilihat kepada tabiat pergerakan gajah berkeliaran sekiranya ia (penerokaan habitat gajah) dilakukan di lokaliti utama hidupan berkenaan bergerak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!