Usaha UMNO berdepan PRN
SHAH ALAM - Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang terbuka menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin boleh membantu 'memujuk' penyokong mereka agar tidak keluar daripada parti berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Sivamurugan Pandian berkata, perkara tersebut penting supaya tidak menganggu-gugat soal persediaan, merapatkan barisan serta perpaduan dalam parti berkenaan.
“Apabila sudah dihulurkan tangan (terima kembali ahli dipecat, digantung) maka ini bermakna ia juga merupakan ujian kepada pemimpin terbabit sama ada mereka berpegang kepada ideologi atau pegangan parti atau sudah membuat keputusan untuk bergerak sendiri.
“Jadi langkah Ahmad Zahid tersebut dianggap bertujuan membolehkan mereka yang digantung dan dipecat melihat semula persediaan kembali kepada UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, tindakan Ahmad Zahid terbuka untuk menerima ahli-ahli dikenakan tindakan disiplin itu merupakan usaha untuk mendepani pilihan raya negeri (PRN) bagi memastikan tidak wujud protes dalam parti.
Sivamurugan berkata, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada masa ini dijangka membuat rayuan susulan beliau tetap hadir sewaktu mesyuarat bahagian dan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
“Bagaimanapun, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mungkin tidak akan menyertai UMNO kerana sudah membuat keputusan sertai Perikatan Nasional (PN).
“Sudah pasti yang menjadi tumpuan kini adalah tindakan bakal diambil oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan kerana mereka ini masih mempunyai penyokong yang ramai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!