6 motosikal, kereta musnah dalam kebakaran rumah
KLANG - Tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Bawal - Kampung Sungai Udang, di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, 20 anggota serta pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan bahagian dapur sebuah rumah setingkat kelas A yang terbakar 30 peratus.
"Kebakaran juga telah mengakibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan enam motosikal terbakar 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, api dapat dikawal pada jam 3.20 pagi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!