3 pelancong Britain hilang dalam kebakaran bot di Mesir

Bot bawa 27 penumpang terbakar ketika dalam pelayaran berhampiran bandar peranginan Marsa Alam di Mesir. - Foto Reuters
Bot bawa 27 penumpang terbakar ketika dalam pelayaran berhampiran bandar peranginan Marsa Alam di Mesir. - Foto Reuters
A
A
A

KAHERAH - Tiga pelancong warga Britain hilang selepas sebuah bot yang membawa 27 penumpang terbakar ketika dalam pelayaran di pinggir laut berhampiran bandar peranginan Marsa Alam di Mesir pada Ahad, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan pihak berkuasa Red Sea Governorate, seramai 12 daripada 15 pelancong Britain bersama 10 anak kapal dan dua pemandu warga Mesir telah diselamatkan oleh bot lain manakala usaha mencari dan menyelamat tiga yang hilang masih diteruskan.

Siasatan awal menunjukkan kebakaran berkemungkinan berpunca daripada litar pintas di dalam bilik enjin bot.

Setiausaha Agung Red Sea Governorate, Mohamed Bendary berkata, kemalangan itu berlaku di luar pantai kawasan Elphinstone, kira-kira 25 kilometer ke utara Marsa Alam.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Mesir sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai nahas berkenaan. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!