Dakwa dua juta tinggalkan UMNO, Annuar diminta guna 'kalkulator'
ALOR GAJAH - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan dakwaan lebih dua juta ahli telah meninggalkan parti itu sebagai tidak relevan.
Beliau berkata, Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa seharusnya menggunakan kalkulator politik sebelum membuat sebarang provokasi mahupun kenyataan berhubung parti itu.
Menurutnya, ketika menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerja UMNO, dianggarkan parti itu mempunyai seramai 3.3 juta ahli dan sekiranya dakwaan dua juta ahli telah keluar parti, sudah pasti beberapa cawangan UMNO di negara ini telah dibubarkan.
"Takkanlah dua juta ahli keluar daripada tiga juta ahli, tiga perempat cawangan-cawangan (UMNO) seluruh Malaysia telah ditutup.
"Kalau itulah kaedah dikatakan, jadi saya nak ingatkan kekanda saya, Tan Sri Annuar Musa kalau nak buat provokasi pun, pakailah kalkulator politik terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bayaran Insentif Sara Hidup One-Off Fasa Dua dan Tiga kepada 316 nelayan di Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong.
Media pada Sabtu melaporkan kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO itu bahawa lebih dua juta ahli sudah meninggalkan parti dan beliau juga mendakwa UMNO kini bukan lagi parti yang menjadi pilihan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri, berharap enam negeri lain yang akan berdepan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dapat mencontohi negeri Melaka yang mempunyai kombinasi pelbagai parti politik dalam pengurusan pentadbiran termasuk BN dan PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!