Lelaki ditahan pecah masuk tadika

Seorang lelaki ditahan pada Ahad kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini.
Seorang lelaki ditahan pada Ahad kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini.
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki ditahan pada Ahad kerana dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah tadika di Jalan Kenari, Bandar Putra di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Yusof Othman berkata, kejadian tersebut disedari pada 7.30 pagi, 16 Ogos tahun lalu tetapi suspek terlepas dan bebas sebelum berjaya diberkas pada Ahad.

"Tadika tersebut disedari dipecah masuk apabila seorang guru melihat kesan umpil pada pintu masuk. Pemeriksaan mendapati komputer riba dan projektor telah hilang.

"Mangsa membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali menceroboh masuk. Mangsa membuat laporan polis pada hari sama dan kerugian dianggarkan RM2,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun berjaya ditangkap di hadapan kedai runcit di jalan utama Felda Bukit Ramun, pada 7.30 malam Ahad.

"Dua komputer riba dan enam telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas dan suspek mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan akan dilakukan ke atas suspek dalam penglibatan dalam kes jenayah lain di Kulai. Pengecaman barang kes yang dirampas akan dilakukan mangsa," ujar beliau.

Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta rekod dikehendaki berkaitan kes 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu turut positif dadah jenis methamphetamine.

Tambah beliau, suspek direman selama seminggu bermula pada Isnin sehingga 18 Jun ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebat bagi kesalahan kedua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!