200 hektar tanaman koko baharu akan dibuka
KODIANG - Lembaga Koko Malaysia (LKM) merancang untuk membuka 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 110 hektar akan dibangunkan di Sabah dan 10 hektar di Sarawak, selebihnya akan diteroka di Semenanjung.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui LKM akan terus komited melaksanakan program bagi merancakkan pengeluaran biji koko, antaranya mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman bagi menjamin kelangsungan sektor koko negara,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia juga antara usaha kerajaan untuk membantu pengusaha koko agar meneruskan tanaman tersebut dan tidak beralih kepada tanaman lain.
“Dalam sesi pertemuan saya bersama pekebun kecil koko, mereka menyuarakan cabaran yang dihadapi dalam penanaman koko, antaranya kos input pertanian tinggi mengakibatkan pembajaan terhad. Isu lain termasuk kekurangan golongan belia yang berminat meneruskan tanaman ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pada masa ini, jumlah keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar, iaitu 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar (Sarawak) serta di Semenanjung hanya 1,087 hektar.
Sebelum itu, Fadillah hadir program sesi santai bersama pengusaha tanaman koko di kediaman salah seorang pekebun kecil koko di Kampung Kubang Menerung, Padang Serai, sempena Program Trek Komoditi 2023 (zon utara Semenanjung) anjuran KPK, pada petang Ahad.
Zulkifli Romli merupakan salah seorang daripada 14 pekebun koko di Kedah sejak 2015, menerusi program pembangunan koko LKM.
Fadillah memaklumkan, keluasan kawasan penanaman koko di Kedah adalah sekitar 4.38 hektar, meliputi daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.
“Pada tahun lalu, Kedah menghasilkan 760 kilogram (kg) biji koko kering yang dihasilkan dari 4.38 hektar ladang koko,” jelasnya.
Fadillah turut meluangkan masa melawat tapak pemprosesan biji koko termasuk kotak pemeraman biji koko basah dan pelantar pengering di kampung berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!