Nama 10 'warlord' UMNO sertai PN diumum masa terdekat

HAMZAH
HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai nama 10 'panglima perang' atau 'warlord' UMNO yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, nama-nama itu akan didedahkan pada program bersesuaian.

Katanya, ketika ini barisan kepimpinan PN sedang memuktamadkan urusan berkenaan.

"Insya-ALLAH kita tengah buat perancangan dan akan umumkan dalam waktu terdekat untuk kita sesuaikan dengan program yang sudah kita aturkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu mengucapkan selamat maju jaya kepada beberapa bekas pemimpin parti itu yang akan menyertai PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 10 'warlord' daripada UMNO dijangka akan menyertai PN sebelum PRN.

Selain bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disebut-sebut antara individu yang akan menyertai PN.

Ditanya lanjut tentang perkembangan penyertaan Khairy dalam PN, Hamzah menjelaskan, perkara itu diserahkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Biarlah perbincangan berlangsung antara bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Tan Sri Muhyiddin," ujarnya.

Diasak dengan soalan sama ada Khairy mungkin bertanding sebagai calon PN pada PRN di enam negeri tidak lama lagi pula, Hamzah hanya tersenyum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!