11 termasuk remaja bawah umur tak mengaku tipu wang lebih RM45,000

Kesemua tertuduh diiringi polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka pada Isnin.
Kesemua tertuduh diiringi polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Dua remaja bawah umur antara 11 individu tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin, atas tuduhan menipu tujuh individu dengan melibatkan kerugian RM45,534.74.

Tertuduh Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22, dan adiknya, Muhamad Haiqal Hamdan,19; Yap Soon Lin, 23; Muhamad Faizal Abdullah, 22; Sharifah Nur Natasha Syed Mohd Hata, 21; Yap Zhen Xiang, 19; Teong Wai Keat, 19; Goh Chun Rong, 19; Lee Yih Hong, 18 dan remaja lelaki serta perempuan masing-masing berusia 17 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa pihak kepada pakat jahat jenayah telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan memperdayakan tujuh individu sehingga mangsa menyerahkan wang bernilai keseluruhan RM45,534.74.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana di sini, sejak 11 April sehingga 20 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan,

Bagaimanapun, kesemua tertuduh diwakili peguam, Joel Chua meminta jaminan rendah diberikan kepada setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua pertuduhan dan turut menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!