40 peratus golongan kaya nikmati subsidi - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin turut dinikmati oleh golongan kaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peratusan tersebut itu dikemukakan kepadanya oleh Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menurutnya, adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik yang sebelum ini kepada golongan itu.
"Saya tidak faham kenapa sesetengah pihak masih mempertahankan (pengurangan subsidi)," menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MTEN di bangunan Perdana Putra di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berganjak dengan pendirian untuk tidak mengurangkan subsidi golongan yang memerlukan.
Justeru, kerajaan akan melancarkan Naratif Ekonomi Madani pada Ogos depan sebagai satu panduan jelas mengenai hala tuju ekonomi sekali gus memudahkan tindakan kementerian dan jabatan berkaitan.
"Prinsip-prinsip ekonomi telah kita cerakin secara ringkas di dalam Kerangka Malaysia Madani.
"Namun Kementerian Ekonomi dan kementerian terlibat serta sektor swasta akan menentukan beberapa dasar dan keutamaan dalam pelaburan, ekonomi hijau dan sebagainya," ujar beliau.
Selain itu, Anwar berkata, pada mesyuarat tersebut Bank Negara Malaysia (BNM) turut membentangkan kedudukan kekuatan dan kelemahan ekonomi semasa negara.
"Beberapa langkah baharu diambil untuk memastikan ekonomi negara di tahap lebih kukuh dan pelaksanaan dasar berkesan.
"Perbincangan lain juga menekankan keadaan ekonomi dunia yang tidak begitu memberangsangkan, maknanya langkah domestik tegas perlu diambil bagi mengimbangi kelemahan ekonomi global.
"Soal reformasi ekonomi yang akan diputuskan dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang untuk memastikan kewujudan ekonomi bernilai tinggi yang mampan seperti menambah baik liputan keselamatan sosial melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!