Penganjur Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia cari rakan penaja
PERSIAPAN penganjuran Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia kali keempat di Kuala Lumpur berjalan lancar mengikut jadual menjelang pertandingan itu pada September depan.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn memberitahu, urusan berkaitan kejohanan giat diuruskan dengan baik bagi menyambut kehadiran 22 pasukan bola lelaki pekak dari seluruh dunia dan 10 pasukan bola sepak wanita pekak.
“Semuanya berjalan lancar dan sehingga kini lebih 50 peratus persiapan telah dibuat," katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Kejohanan tersebut berlangsung dari 23 September hingga 7 Oktober.
Menurut Shin Ruenn, pihaknya juga giat mendapatkan tajaan serta kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan kejohanan berkenaan yang setaraf dengan kejohanan bola sepak dunia anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Masih ada yang perlu dilakukan lagi dan MSDeaf sentiasa memohon agar semua pihak sama ada badan kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus memberikan kerjasama,” katanya.
Beliau turut menghargai beberapa pihak swasta yang prihatin telah tampil membantu MSDeaf bagi merealisasikan penganjuran kejohanan berkenaan.
“Syarikat Mitsubishi telah memberikan sumbangan yang amat kami hargai.
“Begitu juga dengan XOX, sebuah jenama kad sim. XOX dipilih menjadi rakan telekomunikasi rasmi untuk kejohanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Shin Ruenn, lebih 150 sukarelawan telah mendaftarkan diri untuk membantu MSDeaf sepanjang kejohanan tersebut.
Beliau berkata, kebanyakan sukarelawan itu adalah penuntut universiti tempatan yang akan diberi kursus bahasa isyarat terlebih dahulu secara percuma.
“Kursus bahasa isyarat ini penting kerana mereka akan menyelia dan berdepan serta menyelesaikan pelbagai permasalahan apabila berhadapan dengan atlet-atlet pekak dari seluruh dunia," katanya.
Shin Ruenn memberitahu, kejohanan tersebut akan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Stadium Universiti Malaya dan Stadium Universiti Putra Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!