Kadet wanita berhijab pertama Malaysia terpilih sertai akademi ketenteraan AS

Dua kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini (kanan) dan Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari menunjukkan surat tawaran kemasukan bagi melanjutkan pelajaran di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS). - Foto Bernama.
Dua kadet Ummi Annur Syahmina Sohaini (kanan) dan Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari menunjukkan surat tawaran kemasukan bagi melanjutkan pelajaran di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS). - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ummi Annur Syahmina Sohaini, kadet wanita berhijab pertama Malaysia yang diterima masuk ke akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, mahu menjadi contoh terbaik sebagai wanita Islam yang patriotik dalam mencapai cita-cita hidupnya.

Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berusia 20 tahun itu, yang bercita-cita menjadi juruterbang jet tempur akan berlepas ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado tidak lama lagi untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Penyelidikan Operasi dan Sains Data.

"Saya terkejut apabila mengetahui bahawa saya adalah wanita berhijab pertama dari Malaysia yang terpilih namun di sinilah saya sangat percaya ada keperluan untuk saya menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang wanita Muslim yang muda dan patriotik.

"Ini adalah laluan yang saya sudah jangka dan pilih dan saya bersedia untuk memulakan pengembaraan dengan sepenuh hati. Saya benar-benar berbangga untuk menghadiahkan negara dengan apa yang telah saya capai dan pelajari dan kini bersedia untuk menyumbang dengan minat yang tinggi dan berkat (doa) daripada banyak pihak.”

Ummi berkata demikian kepada Bernama selepas majlis meraikan kemasukannya ke akademi itu, bersama rakan senegara Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari yang akan menyertai Akademi Tentera AS di West Point di New York, yang diadakan baru-baru ini di kediaman Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

"Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada akademi ketenteraan AS yang meluluskan penampilan saya dengan hijab untuk berada di sana dan ini telah meningkatkan minat saya untuk berusaha yang terbaik di sana.

"Saya mungkin mengalami sedikit kejutan budaya, tetapi saya berazam untuk cepat menyesuaikan diri dengan situasi dengan bimbingan dan sokongan serta doa yang akan terus saya terima daripada ahli keluarga dan rakan tersayang,” kata Ummi Annur Syahmina, individu pertama dalam keluarganya berkhidmat dalam tentera.

Bercakap secara khusus mengenai minatnya untuk melanjutkan pengajian dalam Sains Data sebagai subjek terasnya di akademi, beliau berkata ia adalah kemahiran dan pengetahuan yang mendapat permintaan tinggi di dunia hari ini.

"Saya amat menyukai mata pelajaran Matematik dan Teknologi Maklumat (IT). Apabila ditawarkan pengajian Sains Data, saya secara peribadi merasakan adalah satu kemestian bagi saya untuk mempelajarinya dengan lebih baik dan lebih hebat daripada akademi untuk meningkatkan pengetahuan saya.

"Sekurang-kurangnya pemilihan saya ke akademi AS menunjukkan laluan kepada ramai anak muda dan pelajar di luar sana bahawa kajian lapangan Sains Data adalah luas dan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih tinggi.

"Dengan permintaan yang semakin meningkat walaupun dalam persekitaran tentera, saya yakin subjek teras ini akan membantu saya ke arah menjadi juruterbang jet tempur dengan Tentera Udara Diraja Malaysia," kata anak kelahiran Port Dickson itu.

Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh dipilih selepas melalui proses pemilihan ketat yang menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Menurut laman sesawang rasmi Kedutaan AS di Malaysia, ribuan belia lelaki dan wanita bersaing untuk memasuki Akademi Ketenteraan AS di seluruh dunia dan hanya 10 peratus dipilih.

Tahun ini, sebanyak 89 negara dijemput untuk meletakkan calon dengan matlamat mendaftarkan 15 pelajar asing di setiap akademi ketenteraan.

Ketika ini terdapat lapan kadet dari Malaysia di Akademi Ketenteraan AS - dua di Akademi Tentera AS (West Point, New York), tiga di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan tiga lagi di USAFA.

Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh akan menamatkan pengajian di akademi masing-masing pada 2027. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!