Tanah Melayu makin kurang dimiliki Melayu - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, agak terlalu lewat untuk mengembalikan tanah yang dahulu dimiliki oleh orang Melayu kerana menjual tanah menjadi punca pendapatan kaum itu.

Menurut beliau, tanah akan kekal selama-lamanya jika ia tidak dijual namun, jika sebaliknya berlaku, duit hasil jualan tanah tersebut akan habis apabila dibelanjakan.

“Jadi apabila tanah dijual dan duit yang didapati habis dibelanja, penjual tanah akan jadi lebih miskin. Tidak ada yang boleh dijual selain daripada tenaga yang ada di tubuh badan.

“Pilihan yang ada pada orang yang miskin ialah dengan menjual tenaga sebagai pekerja buruh atau menjadi pengemis yang meminta-minta.

“Jika tidak sanggup bekerja dan dengan itu menjadi pengemis, kehidupan di dunia tentulah amat menekan. Tak perlulah dijelas apa nasib pengemis,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Dr Mahathir yang merupakan individu penting dalam Proklamasi Orang Melayu turut berkongsi kronologi Tanah Melayu hilang tanah bermula dari Patani, Singgora, Menara dan Yala ketika zaman penjajahan British serta Kepulauan Riau akibat penjajah Belanda di Indonesia sehingga pemisahan Singapura.

Beliau menjelaskan, rentetan beberapa peristiwa bersejarah yang diceritakan itu menjadi antara punca hilangnya sebahagian wilayah di Tanah Melayu.

“Sekarang, ini sahajalah yang tinggal tetapi walaupun masih dikenali sebagai Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak lagi tanah yang dimiliki oleh orang Melayu,” ujar beliau.

Tambahnya, di zaman British ramai orang asing berhijrah ke Tanah Melayu terutama dari negara China dan India untuk meringankan beban orang Melayu kerana mereka bersedia membuat kerja-kerja berat, kotor serta berbahaya yang tidak sanggup dibuat oleh orang Melayu sendiri.

Dr Mahathir berkata, mereka juga mengadakan perniagaan dan perusahaan yang memperkayakan Tanah Melayu sehingga apabila menetap di kawasan tersebut, diberi kerakyatan sehingga mampu terlibat dalam kancah politik.

Namun katanya, golongan ini tidak dapat hak-hak keistimewaan sama rata dengan orang Melayu kerana mereka mengekalkan perkaitan dengan negara asal, akan tetapi bidang ekonomi dan kekayaan dikuasai oleh kaum ini sehingga mampu mempengaruhi politik negara.

“Di Tanah Melayu, tidak ada sekatan terhadap siapa sahaja dalam pemilikan tanah kerana sesiapa yang menjadi menjadi kaya, mereka banyak membeli tanah sehinggakan kerja ini menjadi punca pendapatan orang Melayu,” jelas beliau dalam kenyataan sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!