Hishammuddin persoal keikhlasan Zahid terima semula ahli UMNO dipecat, digantung

Hishammuddin.
Hishammuddin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan keikhlasan pelawaan UMNO untuk menerima kembali mana-mana ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu tidak masuk akal kerana beliau sendiri tidak tahu punca digantung keahlian.

"Sampai hari ini saya tak tahu apa sebabnya saya digantung dan masa saya digantung dulu, jawatankuasa disiplin tak pernah panggil saya untuk siasat (dan) untuk (saya) jawab.

"Jadi saya pun tak tahulah sama ada apa yang diluahkan (pelawaan) baru-baru ini ikhlas atau tidak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada Sabtu lalu bahawa parti itu sentiasa terbuka untuk menerima kembali ahli-ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin termasuk mereka yang digantung atau dipecat.

Namun, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO mempunyai Perlembagaan dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli yang digantung atau dipecat.

UMNO sebelum ini membuat pembersihan besar-besaran parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat antaranya Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Hishammuddin menegaskan, jika UMNO benar-benar masih memerlukan khidmat ahli yang digantung dan dipecat, sindiran-sindiran kepada mereka perlu dihentikan selain mereka juga tidak sepatutnya diberikan tawaran secara bersyarat.

"Tawaran-tawaran bersyarat bagi saya tak beri apa-apa makna.

"Bagi saya apa yang dicadangkan (pelawaan itu diberikan) mungkin disebabkan respons atau luahan daripada bawah (akar umbi) kerana orang nak tengok kita (UMNO) jadi lebih baik. Tapi itu terserah kepada mereka (pimpinan UMNO)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!