Coldplay umum konsert 4 malam di Singapura
SINGAPURA - Peminat Coldplay di Singapura yang kecewa dengan pengumuman bagi siri Asia bagi Jelajah Dunia 'Music Of The Spheres' akhirnya boleh menarik nafas lega.
Kumpulan yang memenangi Anugerah Grammy itu bakal membuat persembahan di Stadium Nasional (National Stadium) selama empat malam iaitu pada 23, 24, 26 dan 27 Januari 2024.
Ia sekali gus menjadi penampilan pertama buat Coldplay yang akan beraksi selama empat malam di venue yang sama.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Live Nation Singapore memuat naik teaser yang memaparkan promosi jelajah Coldplay yang dimainkan di skrin beberapa bangunan di Singapura.
Jelajah Dunia 'Music Of The Spheres' Coldplay telah terjual lebih tujuh juta tiket iaitu jumlah paling banyak untuk mana-mana jelajah sepanjang dua tahun lepas, dan telah memperoleh kumpulan itu anugerah Artis Jelajah Kegemaran di Anugerah Muzik Amerika 2022.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kemampanan kumpulan itu, Jelajah Dunia Music Of The Spheres Coldplay telah menghasilkan 47 peratus kurang pelepasan karbon berbanding jelajah stadium mereka sebelum ini pada 2016/2017.
Lima juta pokok juga telah ditanam di seluruh dunia, satu untuk setiap penonton konsert.
Prajualan tiket konsert itu akan diadakan pada 19 Jun dari 2 petang hingga 11.59 malam.
Jualan terbuka kemudiannya akan bermula pada 20 Jun dari 2 petang melalui Ticketmaster, dengan harga tiket bermula dari S$68, tidak termasuk yuran tempahan.
Kumpulan itu juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan sejumlah tiket Infinity yang terhad, berharga bersamaan dengan AS$20 (S$27), untuk konsert itu nanti.
Selain Singapura, Coldplay juga menambah Manila dan Bangkok ke dalam siri jelajah mereka yang sedang berlangsung, masing-masing pada 19 Januari dan 3 Februari tahun depan.
Sementara untuk pementasan di Malaysia pula, kumpulan itu akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November 2023. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!