Kumulatif kes demam denggi meningkat 158 peratus

Sebanyak 48,712 kes dengan 34 kematian dilaporkan akibat demam denggi dari Januari hingga 3 Jun lepas.
Sebanyak 48,712 kes dengan 34 kematian dilaporkan akibat demam denggi dari Januari hingga 3 Jun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 3 Jun meningkat sebanyak 158 peratus dengan 48,712 kes dilaporkan berbanding 18,883 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dalam tempoh itu juga, sejumlah 34 kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan berbanding 12 kematian pada 2022.

Pada Minggu Epidemiologi ke-22 (28 Mei hingga 3 Jun), beliau berkata, jumlah kes demam denggi adalah sebanyak 2,455 kes berbanding 2,638 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 183 kes.

"Tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-22 (ME22) tahun ini,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa demam denggi pada Isnin.

Mengenai bilangan lokaliti hotspot pada ME22, beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan dengan 82 lokaliti hotspot dikesan berbanding 72 pada minggu sebelumnya.

"Sebanyak 62 lokaliti berada di Selangor, sembilan lokaliti di Pulau Pinang, lima lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat lokaliti di Sabah serta masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Perak,” katanya.

Bagi survelan chikungunya pula, Dr Muhammad Radzi berkata, sebanyak satu kes di Selangor telah direkodkan pada ME22 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya adalah 135 kes sehingga kini.

"Bagi survelan zika, sebanyak 1,163 sampel darah dan 57 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, analisis kematian akibat komplikasi denggi bagi 2020 hingga 2022 menunjukkan sebahagian besar pesakit mengalami penyakit kronik seperti darah tinggi atau hipertensi dengan 27 peratus kes dilaporkan, kencing manis atau diabetes (23 peratus) dan obesiti (23 peratus).

"Hiperlipidemia (lapan peratus), penyakit jantung (tujuh peratus) dan penyakit buah pinggang (enam peratus). Ini menunjukkan pesakit denggi dengan penyakit kronik lebih cenderung kepada komplikasi serius dan kematian,” katanya.

Beliau berkata, gejala awal demam denggi seperti demam tinggi secara mengejut disertai sakit belakang mata, sakit kepala, sakit sendi atau otot dan pening tidak boleh dipandang ringan terutama mereka yang menghidap penyakit kronik.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan tiada bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!