Ikut rakan konvoi tapi tiada lesen

Polis menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal dan penunggang dalam operasi di hentian rehat dan rawat Seremban, Lebuhraya Utara Selatan pada Sabtu.
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal dan penunggang dalam operasi di hentian rehat dan rawat Seremban, Lebuhraya Utara Selatan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya ikut rakan berkonvoi. Itu alasan yang diberi penunggang motosikal selepas ditahan pada Sabtu ketika Op Samseng Jalanan kerana tidak memiliki lesen memandu.

Operasi bermula jam 11 malam di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, operasi sehingga jam 3 pagi itu bertindak menyita sebanyak 15 buah motosikal atas kesalahan penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu selain kesalahan ubah suai.

Katanya, motosikal yang disita melibatkan jenis Yamaha NVX, Yamaha LC 135, Yamaha Y15, Yamaha 125Z, Yamaha SS, Honda Wave dan Modenas Kriss.

"Kesemua motosikal telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Antara alasan yang diberi kerana tidak mempunyai lesen memandu ialah tidak dapat buat lesen kerana masih ada saman tertunggak, mengikut kawan berkonvoi selain trend ubah suai motosikal," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, selain itu, polis turut mengeluarkan 200 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kesalahan nombor plat adalah paling tinggi direkodkan iaitu 57 diikuti tiada cermin sisi (34), aksesori tidak sempurna (26), tidak pamer pelekat L/P (23), ubah suai ekzos (12) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

Dalam operasi berasingan di Lebuhraya Elite pada Ahad, Mohd Nasri berkata, pihaknya mengeluarkan 62 saman atas pelbagai kesalahan.

"Antaranya nombor plat (15), tidak pamer pelekat L/P (12), cermin sisi (10) dan lesen memandu (10)," ujarnya.

Tambahnya, operasi ini bertujuan untuk mengesan penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas dan memeriksa fizikal kenderaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!