Perginya Silvio Berlusconi

Taikun media itu dimasukkan ke hospital di Milan pada Jumaat untuk menjalani ujian berkaitan penyakit leukemia dihidapinya. - Foto Agensi
Taikun media itu dimasukkan ke hospital di Milan pada Jumaat untuk menjalani ujian berkaitan penyakit leukemia dihidapinya. - Foto Agensi
A
A
A

MILAN - Bekas Perdana Menteri Itali yang sarat kontroversi, Silvio Berlusconi yang membentuk semula landskap politik dan budaya Itali meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Pemergian beliau diumumkan jurucakapnya pada Isnin setelah bilionair itu dimasukkan ke hospital di Milan pada Jumaat untuk menjalani ujian berkaitan penyakit leukemia dihidapinya.

Kira-kira tiga minggu lalu, Berlusconi discaj dari hospital selepas enam minggu mendapatkan rawatan di Hospital San Raffaele dan beliau disahkan menghidap barah darah jarang berlaku.

Pemimpin parti berhaluan kanan, Forza Italia itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan selama bertahun-tahun termasuk pernah menjalani pembedahan jantung pada 2016 dan dimasukkan ke hospital kerana positif Covid-19.

Beliau dilantik semula menganggotai Senat pada tahun lalu, namun jarang tampil di khalayak umum.

Berlusconi pernah memimpin Itali sebanyak tiga kali untuk tempoh selama sembilan tahun antara 1994 dan 2011.

Julukan pemimpin 'playboy' telah menjadikan kisah sensasi skandal seks menjadi tajuk utama media menjelang tahun akhir pentadbirannya selain berdepan pelbagai kes mahkamah.

"Berlusconi telah mencipta sejarah kepada negara ini. Ramai yang sayang dan ada juga yang membenci. Namun, semua pihak perlu mengiktiraf sumbangan luar biasa beliau kepada ekonomi, sukan dan media," kata bekas Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi di Facebook.

Taikun media itu meninggalkan kekasihnya berusia 33 tahun, Marta Fascina, dua bekas isteri bersama lima anak dan harta kekayaan dianggarkan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM32 bilion). - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!