Kun Pan hadiahkan Malaysia emas di Thailand
SEJARAH terukir di Rayong, Thailand apabila lagu Negaraku berkumandang setelah pelumba Malaysia, Phi Kun Pan merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai Bawah 23 Tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) sejauh 111 kilometer pada Isnin.
Phi Kun berjaya mengetepikan cabaran pelumba Uzbekistan, Yanina Kuskova dan Dewika Mulya Sova dari Indonesia untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia.
Pelumba cilik kelahiran Kedah itu merakam masa 2 jam 51 minit 41 saat dengan purata kelajuan 38.79 kmj untuk memastikan Malaysia melakar lembaran baharu dalam arena lebuh raya selepas kali terakhir menjulang pingat dalam kategori Bawah 23 Tahun pada 2012.
Pada 2012, Adiq Hussainie Othman muncul wira negara apabila menghadiahkan sebutir pingat perak pada hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) di Putrajaya, Kuala Lumpur.
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah menjelaskan kejayaan Phi Kun membuktikan skuad lebuhraya wanita kini berada di landasan yang betul.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Lebuhraya PKBM turut mendedahkan betapa pelumba tersebut dan rakan sepasukan termasuk Nur Fitrah Shaari hampir terlepas tiket untuk bertanding di ACC 2023 di Rayong.
“Mereka datang ke Rayong untuk berlumba dengan menggunakan duit sendiri. Penyertaan mereka juga disahkan pada saat-saat terakhir. Saya kemukakan nama tiga pelumba ini kepada penganjur ACC Lebuhraya iaitu Thailand.
“Nasib kita baik kerana kerana saya juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Persekutuan Berbasikal Asean. Saya merayu kepada Presiden ACF (Jeneral Dr Decha Hemkasri) supaya mereka diterima untuk berlumba.
“Alhamdulillah mereka bukan sahaja dapat berlumba malah Phi Kun menang pingat emas. Ini satu pencapaian yang sangat cemerlang yang telah disumbangkan oleh pelumba lebuhraya wanita,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Isnin.
Pada perlumbaan itu, seorang lagi pelumba Malaysia, Zhen Yi Yeong yang ditaja oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menduduki tempat ke-10 manakala Nur Fitrah mengisi posisi ke-18.
Norazman seterusnya mendedahkan betapa skuad lebuhraya wanita kini memiliki barisan ampuh untuk menyerlah pada Sukan Sea 2025 dan Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia 2024 nanti.
“Kini, Aisyah (Nur Aishah Zubir) memiliki rakan sepasukan yang boleh diharapkan untuk mencatat kejayaan yang lebih bermakna pada pentas kejohanan Sukan Sea 2025 dan ACC 2024 nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!