Longgarnya ketegasan ibu bapa masa kini terhadap anak-anak
MERAK Jalanan tertarik dengan tular seorang kanak-kanak berusia 11 tahun memandu kereta bapanya di Klang.
Bukan sebab kagum dengan keberaniannya, tetapi kecewa dengan pengawasan ibu bapa yang longgar terhadap perbuatan anaknya.
Ini bukan kejadian pertama di Malaysia. Sebelum ini di Langkawi, seorang kanak-kanak enam tahun memandu kereta keluarganya dan terlibat kemalangan.
Beberapa hari selepas itu, tular pula seorang remaja lelaki 13 tahun di Bukit Mertajam memandu kereta tanpa lesen bersiar-siar sejauh empat kilometer sambil membawa ibu dan rakannya sebagai penumpang.
Itu yang tular di media sosial. Mungkin ada lagi kes yang sama berlaku tetapi kita tidak tahu.
Merak Jalanan masih ingat, kali pertama memegang stereng kereta ialah ketika berusia 17 tahun selepas selesai menduduki SPM, belajar memandu sementara menunggu keputusan permohonan masuk universiti.
Tangan dan kaki Merak Jalanan terketar-ketar sedikit tatkala duduk di kerusi pemandu dan menghidupkan enjin.
Semasa menekan pedal minyak, perasaan bimbang timbul lebih-lebih lagi melihat kiri kanan kenderaan dipandu laju di atas jalan raya.
Sebaik lulus ujian dan peroleh lesen D, Merak Jalanan masih tidak diberi kepercayaan untuk membawa kereta ayah. Kalau nak pakai keretanya, akan ditanya bermacam-macam soalan.
Nak pergi mana? Apa tujuan? Perlukah naik kereta? Begitu tegasnya ayah Merak Jalanan sebab bimbang keselamatan anaknya di atas jalan raya.
Apabila insiden remaja bawah umur memandu kereta tular, Merak Jalanan kuat mengatakan bahawa anak-anak generasi kini berani melakukan perbuatan bahaya kerana ibu bapa sendiri yang mengambil sikap lewa.
Nasihat Merak Jalanan kepada ibu bapa, bertegaslah dengan anak-anak. Jangan disebabkan sikap acuh tak acuh kita menyebabkan orang lain pula susah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!