RTG bukan angan-angan Mat Jenin

15 atlet RTG. (Gambar kecil: Pekan)
15 atlet RTG. (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

PEMANTAUAN secara berterusan terhadap 15 atlet Road To Gold (RTG) disifatkan sebagai satu isyarat jelas betapa seriusnya pemegang taruh dalam merealisasikan agenda emas Olimpik pertama negara.

Pemerhati sukan tanah air Datuk Dr Pekan Ramli berkata, mesej itu juga merupakan satu peringatan kepada kelompok atlet elit berkenaan untuk sentiasa berusaha meningkatkan prestasi semasa masing-masing.

“Saya sifatkan senarai 15 atlet yang terpilih ini, bagi menyertai program RTG ini bukan kaleng-kaleng kerana mereka merupakan dalam kalangan terbaik Malaysia miliki pada masa ini.

“Apabila 15 atlet ini terpilih menyertai RTG adalah menjadi satu tanggungjawab besar kepada mereka untuk memastikan tidak digugurkan dari program tersebut.

“Kita juga tidak mahu apabila sampai masa ke Olimpik nanti dalam kalangan 15 atlet hanya enam atau tujuh atlet sahaja yang layak menggalas cabaran negara secara merit.

“Ini satu 'backfire' dan pembaziran kepada pemegang taruh RTG yang dibentuk dengan dana besar dalam merealisasikan agenda negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

April lalu, penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam menyatakan senarai nama atlet dalam program itu sentiasa dipantau dan tidak semestinya kekal kepada 15 orang seperti diumumkan sebelum ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menegaskan atlet yang berada dalam program RTG tidak boleh berasa selesa dan santai kerana mereka boleh disingkirkan dari program tersebut.

Bagaimanapun dalam masa, sama, Pekan menyarankan Jawatankuasa RTG memberikan satu tempoh masa kepada atlet elit ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Sejujurnya Jawatankuasa RTG juga perlu memberi satu tempoh 'dateline' tertentu sebagai KPI kepada 15 atlet elit untuk mereka 'perform' dan bukan menunggu hingga tarikh akhir layak ke Olimpik.

“Paling tidak mereka perlu diberikan surat tunjuk sebab dan peringatan mengapa mereka tidak boleh digugurkan dari RTG, ini kerana prestasi mereka yang tidak meningkat sebaliknya makin merudum.

“Dan pengambilan baharu perlu dilakukan segera supaya atlet yang terpilih dapat menikmati faedah daripada program ini dan yang paling penting atlet itu mempunyai potensi dipertaruhkan memenangi pingat emas untuk negara,” katanya.

Sebagai rekod, Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi membincangkan sama ada menggugurkan atau mengekalkan senarai atlet yang kini berada dalam program tersebut.

Baru-baru ini beberapa atlet RTG, mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan sehingga tercicir daripada ranking 10 dunia.

Jelas Pekan lagi, para atlet RTG juga perlu sentiasa peka kerana persaingan untuk ke Sukan Olimpik semakin sengit dengan kehadiran atlet baharu.

Kata Pekan, 15 atlet ini perlu sentiasa bertanggungjawab ini sentiasa meningkatkan prestasi semasa untuk layak ke Sukan Olimpik kerana kedudukan ranking dunia sukan masing-masing sentiasa berubah.

“Ranking atlet kita sekarang pun masih belum selamat lagi untuk beraksi di Olimpik.

“Atlet kita perlu bekerja keras untuk layak terlebih dahulu kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku menjelang Paris 2024,” katanya.

Mengulas mengenai terdapat permintaan tambahan berkenaan sistem sokongan dalam kalangan atlet RTG, Pekan berkata, “Tolong jangan jadikan RTG ini seperti 'Jabatan Kebajikan' pula dengan meminta pelbagai perkara-perkara yang tidak sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa RTG.

“Program RTG bukan program angan-angan Mat Jenin, dalam kalangan 15 atlet ini juga perlu memiliki kemahuan dan kesedaran tinggi bagi mengharumkan nama Malaysia dan bukan sekadar untuk mendapatkan status Olimpian sahaja.

“Sejujurnya tidak salah pun para atlet elit ini mengemukakan permintaan sokongan tambahan untuk meningkatkan prestasi daripada Jawatankuasa RTG kerana matlamat akhirnya adalah pingat emas Olimpik.

“Namun kita juga pada masa sama perlu ukur baju di badan sendiri serta realistik bagi tempoh masa panjang dalam merealisasikan harapan besar rakyat Malaysia ini.

“Ini juga penting bagi membolehkan kita khasnya komuniti sukan negara nampak bahawa pemilihan mereka dalam RTG ni tepat dan boleh disandarkan harapan untuk emas pertama negara,” katanya.

Bagaimanapun Pekan tidak menolak kemungkinan mesej bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan atlet.

“Ini kerana mungkin dalam kalangan 15 ini merasakan kehadiran mereka dalam RTG masih lagi samar-samar.

“Realitinya memang mereka masih belum layak ke Paris 2024 dan RTG merupakan program yang dibentuk khusus merealisasikan misi emas Olimpik pertama negara.

“Proses kelayakan ke Paris 2024 bagi acara badminton, berbasikal contohnya perlu melalui proses kedudukan ranking yang berlangsung hingga tahun depan,” katanya.

Pada masa sama Pekan juga berpandangan acuan program RTG tidak jauh bezanya seperti program Podium sebelum ini.

“Saya lebih suka melihat program RTG ini kelihatan seperti satu projek khas bukan hanya untuk Paris 2024 sahaja, sebaliknya juga untuk temasya Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.

“Lagipun kita lihat dalam kalangan 15 atlet yang terpilih belum secara rasmi akan ke Paris 2024, sebalik masih lagi nama dalam senarai panjang.

“Justeru adalah lebih baik RTG ini turut merangkumi atlet dalam sekurang-kurangnya untuk tiga kitaran Olimpik bagi memastikan kita mampu menghasilkan atlet yang akhirnya mampu meraih emas untuk negara,” katanya.

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan, mengumumkan pembentukan Jawatankuasa RTG bagi menyelaras usaha meraih pingat emas di Paris 2024 dan Los Angeles 2028 pada Mac lalu.

Jawatankuasa itu akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi kedua-dua temasya, namun ketika ini ia mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh setahun bagi menghadapi Olimpik Paris 2024.

Jawatankuasa RTG akan memperkasa Program Podium dipacu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat kementerian bagi mengukuhkan lagi jawatankuasa yang akan memberi fokus antaranya menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat.

Dua kriteria utama menjadi asas RTG dalam penentuan atlet yang berpotensi ke temasya sukan terbesar dunia itu adalah atlet pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik dan berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!