Ibu dari neraka goncang, hentak kepala bayi
CHELSFORD - Seorang wanita di timur London, England layak digelar 'ibu dari neraka' kerana sengaja menyebabkan kematian bayi lelakinya yang berusia tiga bulan.
Berdasarkan pendengaran kes di Mahkamah Chelmsford Crown, Ellodie Goncalves menghubungi talian kecemasan 999 pada pagi 19 Ogos 2020 dan memberitahu operator bahawa anaknya sudah mati dan tidak bergerak.
Anggota paramedik bergegas ke kediaman wanita itu di Harlow, Essex, tetapi mendapati mangsa, Malik Goncalves sudah meninggal dunia.
Wanita berusia 33 tahun itu juga didakwa menyerang anggota paramedik yang cuba memberikan bantuan kecemasan kepada bayi malang tersebut.
Menurut pendakwa raya, Ellodie turut dikesan meminum alkohol secara berlebihan selain puluhan botol wain kosong ditemui berselerakan di dalam rumahnya.
Seorang jiran mendakwa melihat Ellodie mendukung bayinya dalam keadaan mabuk sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
Ellodie turut dilihat menghentak kepala bayi tersebut ke atas permukaan lantai.
Kira-kira dua bulan sebelum kejadian itu, Ellodie bersetuju dengan rancangan perkhidmatan sosial untuk tidak meminum arak.
Rancangan itu dipersetujui pasangannya, Muritala Oliya-Imam, 37, yang mengaku sebagai bapa kepada Malik.
"Sepatutnya Muritala sedar mengenai risiko keselamatan sekiranya Ellodie dibiarkan berseorangan dengan bayinya.
"Dia sepatutnya berada di sana untuk melindungi mangsa," kata pendakwa raya.
Pasangan tersebut menafikan tuduhan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kematian.
Perbicaraan kes itu bersambung. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!