Maqis rampas 3,360 kg limau kasturi

Anggota penguat kuasa Maqis menunjukkan limau kasturi yang dirampas di Pelabuhan Klang Barat pada Sabtu.
Anggota penguat kuasa Maqis menunjukkan limau kasturi yang dirampas di Pelabuhan Klang Barat pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 3,360 kilogram (kg) buah limau kasturi dari Indonesia yang cuba diseludup masuk ke negara ini di Pelabuhan Klang Barat pada Sabtu lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, kesemua dagangan itu dirampas dari sebuah kontena ketika pemeriksaan rutin yang dijalankan pada jam 12 tengah hari.

"Kontena tersebut membawa pisang, namun terdapat buah limau kasturi yang diseludup masuk. Kesemua buah limau kasturi berkenaan bernilai RM3,525.90.

"Dagangan (buah limau kasturi) yang dibawa masuk itu tidak diikrar pada borang kastam dan tiada permit import Maqis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua buah limau kasturi tersebut ditahan untuk tindakan dan siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya" katanya.

Mohd Sobri berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

"Pemeriksaan itu juga bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.