Judi online di sebalik kondominium, bangunan pejabat masuk 'jerat'

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di pusat panggilan judi online di sekitar Kuala Lumpur.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di pusat panggilan judi online di sekitar Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan tiga sindiket judi dalam talian yang beroperasi di sebalik kondominium dan bangunan pejabat di sekitar ibu negara terbongkar selepas digempur polis baru-baru ini.

Lima premis itu diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bermula 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

Menurut sumber, operasi khas yang dijalankan telah berjaya menahan 17 individu berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 10 wanita dengan rampasan pelbagai jenis set komputer, komputer riba, telefon bimbit dan tablet serta kredit limit dengan keseluruhan anggaran nilai RM4.9 juta.

"Semakan mendapati suspek membabitkan empat warga Indonesia, seorang Thailand dan selebihnya warga tempatan.

"Soal siasat mendapati mereka ini berperanan menjalankan promosi, menerima dan memindahkan wang pertaruhan yang diterima daripada pelanggan tanpa bersemuka dan semua transaksi di alam maya," katanya pada Selasa.

Tambah sumber, operator bertindak sebagai orang tengah bagi pemudahcara kepada pelanggan. Pelanggan akan berhubung hanya perlu melalui WhatsApp atau Telegram bagi jenis permainan yang ingin dimainkan bersama kemasukan wang pertaruhan melalui pindahan dalam talian.

Katanya, operator akan membuka satu akaun baharu kepada pelanggan dengan memberikan ID dan kata laluan pelanggan setelah pelanggan menyatakan untuk mendaftar.

"Operator akan membuat pembayaran wang kemenangan terus kepada akaun pelanggan.

"Dipercayai suspek ini menerima gaji bulanan sekitar RM2,000 hingga RM5,000 bergantung peranan masing-masing," ujarnya.

Kata sumber, soal siasat mendapati kondominium dan premis pejabat disewa untuk dijadikan sebagai pusat panggilan dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 selain dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan selain akses kad.

"Mereka ini dipercayai daripada sindiket berlainan iaitu sindiket Eric, Grand 777 dan BBC 63 yang telah aktif sejak dua hingga tujuh bulan lalu. Kita percaya sindiket ini kerap berpindah-pindah bagi elak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.

"PDRM tidak berkompromi dan akan terus menggempur aktiviti judi tanpa lesen sah secara berterusan serta tindakan tegas akan diambil terhadap sindiket perjudian termasuk mengambil tindakan undang-undang sedia ada dan pencegahan.

"Antaranya, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!