Taliban larang muzik dimainkan dalam majlis perkahwinan
POLIS Taliban akan menggeledah mana-mana dewan perkahwinan di Kabul, Afghanistan dalam usaha mereka menguatkuasakan larangan memainkan muzik.
Permainan muzik dalam acara perkahwinan disifatkan kumpulan berkenaan sebagai bertentangan dengan hukum Islam, lapor portal berita Al Jazeera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Pembangunan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat menegaskan, pemilik dewan diarahkan agar tidak membenarkan muzik dimainkan dalam majlis perkahwinan.
Tahun lalu, Taliban menasihatkan pemilik perniagaan untuk menghindari muzik dalam perhimpunan awam, namun, peraturan itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat.
"Jika tidak ada muzik dalam perkahwinan, maka apakah perbezaan antara upacara perkahwinan dan upacara pengebumian?" tanya pengurus sebuah dewan perayaan di ibu kota Afghanistan.
Namanya dirahsiakan atas alasan keselamatan.
Setelah Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, sejumlah besar seniman dan pemuzik melarikan diri dari Afghanistan dan mencari suaka di negara-negara Barat.
Taliban menganggap muzik bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut tafsiran kumpulan itu, muzik hanya boleh dihasilkan menerusi suara manusia serta hanya untuk memuji Allah.
Taliban turut mengharamkan puluhan aktiviti riadah serta sosial di Afghanistan semasa pemerintahan mereka dari 1996 hingga 2001 termasuk bermain layang-layang, menonton drama bersiri di televisyen, gaya potongan rambut pelbagai dan memainkan muzik.
Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut kembali popular selepas penjajahan yang dipimpin oleh Amerika Syarikat menjatuhkan kumpulan bersenjata itu, namun, selepas Taliban kembali berkuasa, penindasan kembali meningkat.
Kaum wanita dan gadis-gadis Afghanistan berhadapan dengan sekatan paling ketat termasuk dilarang melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah dan universiti serta tidak dibenarkan bekerja dalam pelbagai sektor.
Pada April lalu pula, sebuah stesen radio yang dikendalikan oleh wanita di timur laut Afghanistan ditutup kerana, menurut pegawai Taliban, stesen berkenaan memainkan muzik pada bulan kemuliaan Ramadan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!