Menjejak manusia prasejarah Nenggiri, lebih tua dari Perak Man?

Perak Man dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu. - Foto USM
Perak Man dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu. - Foto USM
A
A
A

GUA MUSANG - Berbaki lima tahun sahaja lagi, sebahagian Lembah Nenggiri yang kaya dengan khazanah warisan purba serta tapak arkeologi dijangka tenggelam sepenuhnya sehingga menyukarkan kerja ekskavasi untuk dijalankan pada masa akan datang.

Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027 akan menenggelamkan gua yang mempunyai warisan arkeologi seperti Gua Cha, Gua Chawan, Gua Kecil (Batu Tambah), Gua Lubang Kelawar (Batu Tambah), Gua Keledung, Gua Rahmat, Gua Gemalah dan Gua Kelew.

Namun, usaha sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak September 2022 berjaya menemui dan menyelamatkan pelbagai jenis artifak prasejarah termasuk yang terbaharu, penemuan rangka manusia lengkap di Gua Keledung Kecil yang sekali gus menyelamatkan khazanah terpenting sejarah tamadun dan kebudayaan manusia.

Ini kerana, rangka manusia yang ditemui dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya, dipercayai mendiami lembah tersebut sejak 14,000 tahun lalu iaitu lebih tua daripada Perak Man yang sebelum ini dianggarkan wujud sejak 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.

"Kerja-kerja ekskavasi ini adalah salah satu langkah mitigasi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk projek pembinaan empangan Nenggiri yang melibatkan 14 buah gua secara keseluruhannya. Kerja ekskavasi menyelamat ini dijalankan oleh Pakarunding UKM dengan melibatkan lebih 30 orang yang terdiri daripada pakar arkeologi, pembantu penyelidik, mahasiswa UKM serta dibantu penduduk kampung berdekatan.

"Sepanjang tempoh itu, kami menemui ribuan artifak dan ekofak yang terdapat di sekitar Lembah Nenggiri seperti serpihan tembikar tanah, alat batu, peralatan batu seperti alat penetak, alat pengetuk dan alat repeh yang digunakan untuk meraut serta sisa makanan seperti cangkerang siput dan tulang binatang,” kata Ketua Penyelidik Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli kepada Bernama.

Untuk rekod, penulis dan juru video Asan Ahmad berpeluang berada di tapak ekskavasi untuk membuat liputan eksklusif penemuan di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri.

Menurut Zuliskandar yang juga Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, berdasarkan daripada penemuan pelbagai jenis alat batu serpihan tembikar tanah serta sisa makanan di Gua Keledung Kecil, masyarakat yang mendiami gua berkenaan sudah bermula sejak zaman pra-Neolitik lagi iaitu kira-kira 14,000 tahun yang lalu dan berterusan ke zaman kebudayaan Neolitik, kebudayaan logam dan pasca prasejarah.

Terlepas pandang

Mengulas kerja ekskavasi di Lembah Nenggiri, beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang arkeologi berkata, penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil ini hanya dapat ‘dibongkarkan’ setelah mereka mengambil keputusan untuk membuka petak ekskavasi baharu di Gua Keledung Kecil setelah ekskavasi menyelamat di Gua Keledung Besar tamat.

Gua itu sebelum ini tidak menjadi tumpuan berikutan saiznya yang kecil berbanding gua lain memandangkan dalam ilmu arkeologi, biasanya gua yang lebih besar digunakan untuk dijadikan tapak perkuburan zaman prasejarah, namun mereka berubah arah apabila pasukannya gagal menemui sebarang lapisan budaya pra-Neolitik di Gua Keledung Besar.

"Sebenarnya, kami hanya tertumpu di Gua Keledung Besar kerana amat jarang gua kecil (Gua Keledung Kecil) dijadikan tapak perkuburan prasejarah. Biarpun begitu, sebelum itu saya memang selalu juga pergi ke Gua Keledung Kecil kerana menyedari bahawa gua ini sebenarnya bersambung dengan Gua Keledung Besar dan kawasannya lebih tinggi.

"Firasat hati saya ketika itu, kerja ekskavasi perlu dilakukan di sini untuk melihat kronologi zaman prasejarah di kawasan Bukit Keledung yang saya berpendapat seharusnya wujud juga kebudayaan pra-Neolitik di kawasan ini. Firasat saya betul di mana kami menjumpai lapisan budaya zaman pra-Neolitik dan apabila ekskavasi mencapai kedalaman lebih dua meter, salah seorang daripada kami terjumpa tengkorak manusia, dan ini memang sangat memeranjatkan.

"Gua ini kecil, tapi saya tidak menyangka ada rangka manusia. Memang rasa seronok sangat akhirnya berjaya jumpa satu-satunya rangka lengkap yang mana ia merupakan prasejarah pertama yang kami jumpa di kawasan lebih hilir,” katanya

Tengkorak manusia itu adalah temuan pertama kali di kawasan sekitar Pos Pulat yang menjadikan misi penyelamatan warisan khazanah purba ini bertambah menarik sekali gus membuatkan mereka meneruskan dan meluaskan lagi kerja penyelamatan itu dengan membuka sebuah lagi petak ekskavasi berkeluasan 2 meter x 2 meter bersebelahan tapak penemuan tengkorak.

Berkat usaha dan kesabaran selama sebulan menjalankan ekskavasi di petak baharu ternyata tidak sia-sia apabila penemuan tengkorak pada awalnya membawa mereka kepada jumpaan satu lagi rangka manusia lengkap yang posisinya hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung.

Bertambah menarik apabila asosiasi artifak di sekeliling rangka berkenaan yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur yang mana tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.

Di sekelilingnya juga terdapat alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati seperti batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal yang sering digunakan dalam ritual pengembumian masyarakat prasejarah.

Para penyelidik mendapati, cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri sejak 14,000 tahun yang lalu.

Pengalaman berharga

Berkongsi kegembiraan sama, Amir Ridhuan Ahmad, 30, pembantu penyelidik yang mengikuti kerja ekskavasi cari gali sejak sembilan tahun lepas sama sekali tidak menyangka akan menjadi sebahagian daripada pasukan yang menemui dan menyelamatkan khazanah di situ.

Menyifatkannya sebagai pengalaman berharga, beliau berkata, negara akan ketinggalan sekiranya golongan muda tidak ambil peduli dengan peninggalan khazanah negara berbanding negara barat yang sangat memberi tumpuan pemeliharaan warisan berharga termasuklah berlumba-lumba mempamerkan barangan artifak mereka.

"Apabila Dr (Zuliskandar) beritahu penemuan kami ini mungkin lebih lama dari Perak Man, sukar untuk digambarkan kerana semua ini akan tenggelam tidak lama lagi. Kalau bukan kita yang selamatkan, siapa lagi,” kata Amir Ridhuan.

Sebelum ini, pada tahun 2018, di lembah yang sama turut ditemui rangka manusia prasejarah berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun di Gua Chawan oleh penyelidik dari ATMA, UKM dan Jabatan Sejarah, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Ia sekali gus adalah jumpaan sangat penting bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah. Lembangan sungai di Lembah Nenggiri pernah diduduki masyarakat prasejarah dan sungai adalah sumber penting buat mereka untuk mendapatkan makanan serta menjadi laluan perhubungan utama ke mana-mana lokasi.

Hakikatnya, kerja cari gali artifak bukanlah mudah kerana melibatkan pelbagai proses seperti menyemak dahulu kajian lepas sebelum mengenal pasti sesuatu lokasi, melakukan penilaian tapak sama ada sesuai untuk menjalankan ekskavasi atau sebaliknya selain melakukan tinjauan pembukaan tanah, tinggalan sisa makanan, tembikar tanah serta alat batu.

Biarpun berhadapan cabaran tapak gua ‘diganggu’ peneroka haram yang mencari baja tahi kelawar, namun artifak dikambur keluar dari tanah oleh mereka membolehkan penyelidik mengesan potensi besar arkeologi di sesuatu kawasan untuk memulakan proses ekskavasi sepertimana di Lembah Nenggiri.

Penentuan tarikh

Bagi menentukan tarikh sesebuah tapak arkeologi yang tepat pula, pelbagai kaedah digunakan dan penyelidik arkeologi negara ini lebih cenderung menggunakan sama kaedah pentarikhan radiokarbon ataupun pentarikhan pendar kilau.

"Saya lebih gemar menggunakan pentarikhan radiokarbon berbanding pentarikhan pendar kilau kerana kesesuaian dengan sampel yang hendak dipertarikhkan.

"Namun untuk penemuan rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil ini, pihak kami akan menghantar sampel yang bersesuaian dan berasosiasi dengan rangka manusia yang ditemui ke Makmal Beta Analytic di Florida, Amerika Syarikat untuk mendapatkan pentarikhan kronometrik di tapak ini. Pentarikhan kronometrik merupakan amalan biasa penyelidik arkeologi untuk mendapatkan pentarikhan tapak. Pentarikhan pun sudah kami perolehi di mana rangka manusia ini berusia lebih kurang 14,000 tahun yang lalu, ” kata Zuliskandar.

Beliau turut bekerjasama dengan pakar dari Fakulti Perubatan UKM yang diketuai oleh Prof Dr Ima Nirwana Soleiman, Ketua Kumpulan Penyelidikan Projek ‘Bone Quality of Prehistoric Human in the Malay Peninsula’.

Prof Dr Ima dengan Prof Madya Dr Elvy Suhana Mohd Ramli, Prof Madya Dr Gabriel Chin Kok Yong dan Dr Wong Sok Kuan terlibat dalam melakukan kajian dan analisis terhadap rangka manusia prasejarah melalui ketumpatan tulang, usia berdasarkan rahang bawah dan mengenal pasti jantina.

Pasukan ini juga turut melakukan kajian untuk mengesan sebarang penyakit manusia prasejarah itu, misalnya kaedah Dual-Energy X-Ray Absorp-Tiometry untuk mengenal pasti penyakit osteoporosis selain kaedah anatomi bagi menentukan jantina rangka manusia tersebut melalui tulang pelvisnya.

"Kami sangat gembira apabila melihat satu rangka manusia lengkap di tapak ekskavasi yang ditunjukkan oleh Dr Zuliskandar. Apa yang kami lakukan adalah mengambil tulang femur dan tibia sedikit dari rangka manusia tersebut untuk kami scan dan menentukan ketumpatan tulang selain melihat struktur dalaman tulang rangka itu, ” kata Ima.

Galeri mini

Selain kaedah berkenaan, kajian forensik pergigian bagi menentukan anggaran umur turut dilakukan kerana sifat gigi manusia yang kekal selama bertahun-tahun selepas kematian sesuai digunakan untuk mengesan anggaran umur menerusi tiga lapisan utama iaitu enamel (lapisan luar pada gigi), dentin (bahagian gigi yang berkalsium yang terdapat di bawah lapisan enamel) dan pulpa (bahagian gigi paling dalam yang lembut dan mengandungi saraf dan salur darah).

Menurut pakar odontologi forensik, Fakulti Pergigian UKM Dr Atika Ashar yang turut terlibat dalam pengecaman identiti manusia prasejarah itu, pasukannya akan mengeluarkan tulang rahang bawah rangka berkenaan bagi mengenal pasti sama ada rangka tersebut lelaki atau perempuan.

"Selain mendapatkan gigi, kami juga dapat menjangkakan umur rangka manusia ini berdasarkan permukaan gigi dengan membuat analisis seterusnya di makmal,” katanya sambil menambah, kaedah morfomik, radiologi dan biokimia akan digunakan dalam kajian itu.

Buat masa ini, rangka manusia prasejarah itu akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh.

Kerja ekskavasi juga giat dilakukan bagi menyelamat khazanah negara sebelum sebahagian Lembah Nenggiri yang dijangka ditenggelamkan pada pertengahan 2027 untuk projek empangan yang memberi pelbagai manfaat dalam menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 serta meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, sebuah galeri mini juga akan dibangunkan oleh TNB berhampiran dengan empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuk rangka yang ditemui di Gua Keledung Kecil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!