Maqis rampas 740kg daging kerbau dari India

Daging kerbau dari India yang dirampas Maqis di Pelabuhan Pasir Gudang pada Isnin.- Foto Maqis
Daging kerbau dari India yang dirampas Maqis di Pelabuhan Pasir Gudang pada Isnin.- Foto Maqis
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyita 740 kilogram (kg) daging kerbau dari India bernilai RM11,700 di Pelabuhan Pasir Gudang pada Isnin.

Maqis dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai penguasa pada jam 5 petang.

"Hasil pemeriksaan telah menemukan sebanyak 37 kotak daging kerbau di dalam satu kontena.

"Kesemua kotak tersebut mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput dan nama pengimport yang tidak sama seperti dinyatakan pada sijil halal dikeluarkan.

"Seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang bertindak sebagai ejen penghantaran diambil keterangan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta tersebut.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!