Pempengaruh Korea ditemui mati dalam kolam, berbalut selimut
SEORANG pempengaruh asal Korea Selatan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa bunuh sepasang pengamal perubatan dan pemilik sebuah hospital tempatan di Kemboja.
Media tempatan pada awalnya melaporkan seorang wanita ditemui mati dalam sebuah kolam dan berbalut selimut tanpa mengetahui identitinya.
Setelah pemeriksaan dan siasatan dijalankan, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai bernama Ahyeong.
Mendiang dikatakan memiliki lebih 250,000 pengikut dan seorang BJ (Broadcast Journey) dari Afreeca TV.
Mayatnya ditemui di dalam sebuah kolam di Phnom Penh, Kemboja, lapor AllKPop.
Menurut kronologi kes seperti dikongsikan pihak berkuasa, Ahyoeng dipercayai melancong ke Kemboja bersama seorang kenalannya.
Dia kemudian menerima rawatan di salah sebuah hospital tempatan yang dikendali oleh pasangan suami-isteri dari China.
Namun sewaktu rawatan, sesuatu berlaku dan dia didakwa meninggal dunia di hospital tersebut.
Saksi kemudian mendakwa pasangan suami-isteri tersebut kemudian membuang mayat Ahyeong di sebuah kolam dengan dibalut selimut.
Sehingga kini punca kematian wanita itu belum diketahui sementara pihak berkuasa masih menjalankan siasatan mengenai jenayah yang terjadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!